DUNIA > BERITA

Ikan Mati Di Sungai Laos, Vietnam Isyarat Krisis Ekologi Mekong

07/05/2026 05:16 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 7 Mei (Bernama) -- Ikan dan udang yang mati di beberapa sungai di Vietnam dan Laos minggu ini mencetuskan kebimbangan pihak berkuasa, dengan cuaca panas melampau serta perubahan kualiti air disyaki antara punca.

Menurut portal berita tempatan VIETNAM.VN, kejadian itu turut dilaporkan di Sungai Lam dan Sungai Dao di wilayah Nghe An, utara-tengah Vietnam, yang bersempadan dengan Laos.

Komuniti nelayan di sepanjang Sungai Lam di komun Anh Son pada Isnin menemukan sejumlah besar ikan kap, keli dan tilapia yang diternak dalam sangkar serta rakit terapung mati.

Spesies ikan lain dan udang turut ditemukan mati berhampiran tebing sungai.

“Pihak berkuasa tempatan di beberapa komun seperti Anh Son, Do Luong dan Bach Ngoc, iaitu kawasan yang melaporkan banyak ikan mati di Sungai Lam menggesa agensi berkaitan menyiasat dan mengenal pasti punca kejadian itu,” lapor portal berita berkenaan.

Komuniti nelayan menganggarkan kira-kira sembilan tan metrik ikan mati dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini, menyebabkan kerugian kewangan besar.

Siasatan awal Jabatan Pemeriksaan Perikanan dan Akuakultur wilayah Nghe An mendapati paras oksigen terlarut yang rendah dalam air, kemungkinan diburukkan oleh gas toksik menyebabkan ikan mati.

Kejadian sama berlaku pada Disember lalu di sepanjang Sungai Cha Va di Ho Chi Minh City, apabila banyak ikan mati hingga menjejaskan operasi penternakan ikan dalam sangkar.

Pihak berkuasa turut mengaitkan kejadian itu dengan penurunan paras oksigen dalam air.

Sementara itu, komuniti di Laos melaporkan beberapa kes sama di sepanjang Sungai Xe Don di wilayah Champasak sejak lewat April, dengan kejadian kedua dilaporkan minggu ini, menurut Laotian Times.

Pihak berkuasa tempatan mengaitkan kejadian ngan cuaca panas melampau yang dikaitkan dengan fenomena El Niño.

Bagaimanapun, beberapa penduduk kampung mengesyaki pencemaran sungai turut menjadi punca dan menggesa siasatan menyeluruh dijalankan.

Kerajaan Laos menasihatkan penduduk supaya tidak menggunakan air dari Sungai Xe Don atau memakan ikan mati akibat kejadian itu.

Rantau yang lebih luas termasuk Kemboja, Laos dan Myanmar mengalami cuaca panas terik sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan suhu di beberapa kawasan melebihi 40 darjah Celsius.

Kejadian itu menyerlahkan ancaman krisis iklim yang semakin meningkat terhadap ekosistem akuatik, pertanian dan keterjaminan makanan serantau.

Pakar cuaca antarabangsa memberi amaran bahawa Asia Tenggara mungkin berdepan El Niño yang teruk tahun ini, cuaca panas berpanjangan dan tekanan alam sekitar yang semakin meningkat di seluruh rantau ini.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan