ISTANBUL, 8 Mei (Bernama-Anadolu) -- Iran pada awal Jumaat menuduh Amerika Syarikat (AS) melanggar gencatan senjata dengan menyasarkan kapal Iran berhampiran Selat Hormuz dan menyerang kawasan awam di selatan Iran, lapor Anadolu Ajansi.
Jurucakap ibu pejabat tentera Khatam al-Anbiya, Ebrahim Zolfaghari berkata AS menyasarkan sebuah kapal tangki minyak Iran yang bergerak dari perairan Iran berhampiran Jask menuju ke Selat Hormuz, serta sebuah lagi kapal Iran berhampiran pelabuhan Fujairah di Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Jurucakap itu turut berkata AS melancarkan serangan udara ke atas kawasan awam di Bandar Khamir, Sirik dan Pulau Qeshm di selatan Iran dengan kerjasama “beberapa negara serantau.”
Beliau berkata angkatan tentera Iran bertindak balas serta-merta dengan menyerang kapal tentera AS di timur Selat Hormuz dan selatan pelabuhan Chabahar, sambil mendakwa serangan itu menyebabkan “kerosakan ketara.”
Kenyataan itu dikeluarkan sejurus selepas tembakan pertahanan udara berterusan kedengaran di barat Tehran ekoran dua letupan kuat, menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA.
IRNA melaporkan tembakan antipesawat berterusan selama beberapa minit di kawasan berhampiran Daerah 22 Tehran dan Ahmadabad Mostofi di barat ibu negara itu.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial