Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 8 Mei (Bernama) -- Kerajaan Singapura akan menyalurkan dana baharu sebanyak S$740 juta (S$1=RM3.08) kepada Dana Pembangunan Pelancongan dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri yang bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Grace Fu.
Berucap pada Persidangan Industri Pelancongan 2026 pada Jumaat, beliau berkata peruntukan itu akan menyokong aspirasi Singapura di bawah matlamat Pelancongan 2040, yang menggariskan fasa pertumbuhan seterusnya bagi memastikan negara itu terus menjadi destinasi pilihan.
Fu, yang juga Menteri Kemampanan dan Sekitaran berkata kerajaan mahu memperkukuh kedudukan Singapura dalam tiga bidang utama iaitu sebagai hab global bagi manusia, modal dan perdagangan; bandar bertaraf dunia serta kediaman yang menarik; dan pusat perniagaan berdaya tahan dengan modal insan yang kukuh.
“Walaupun perkembangan geopolitik menyebabkan gangguan rantaian bekalan dan kenaikan kos bahan api, cabaran itu turut membuka peluang untuk kita memperkemas nilai tawaran dan daya saing.
“Lembaga Pelancongan Singapura (STB) akan bekerjasama rapat dengan industri bagi memastikan sektor ini muncul lebih kukuh daripada cabaran itu,” kata beliau.
Fu berkata Singapura menerima 16.9 juta pelawat antarabangsa yang menyumbang S$32.8 bilion dalam hasil pelancongan, sekali gus mencatatkan rekod hasil pelancongan pada 2025.
“Tanah Besar China, Indonesia dan Australia merupakan pasaran utama hasil pelancongan kami, manakala pasaran jarak jauh seperti Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat mencatatkan pertumbuhan dua angka tahun ke tahun,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial