RAMALLAH, 12 Mei (Bernama-Anadolu) -- Tentera Israel merobohkan 40 kedai dan tiga pusat cuci kereta menggunakan jentolak pada Isnin di pekan Al-Eizariya, tenggara Baitulmuqaddis, lapor Anadolu Ajansi.
Pentadbiran Baitulmaqdis dalam kenyataan berkata tentera Israel berundur dari tapak perobohan di kawasan Al-Mushtal, Al-Eizariya, selepas memusnahkan kira-kira 40 premis perindustrian dan komersial di kawasan itu selain tiga pusat cuci kereta.
Pentadbiran memberi amaran terhadap penerusan operasi perobohan berkenaan ketika bom bunyi dan gas dilepaskan ke arah orang awam.
Sehari sebelum kejadian, tentera Israel mengerahkan kelengkapan dan kenderaan tentera ke kawasan nurseri di pekan berkenaan sebelum melancarkan operasi perobohan secara langsung.
Tentera Israel menyasarkan premis perindustrian dan komersial dalam kempen yang merangkumi semua perniagaan di kawasan itu, meskipun terdapat perintah sementara yang membekukan operasi perobohan sehingga Mei.
Operasi berkenaan dipercayai sebahagian daripada projek peluasan penempatan haram yang lebih besar, termasuk rancangan penempatan E1.
Ketua Majlis Kampung Arab al-Jahalin, Daoud al-Jalin menyifatkan perobohan oleh Israel itu sebagai “pembantaian sebenar terhadap kedai-kedai di pintu masuk Al-Eizariya.”
“Pihak berkuasa pendudukan pada mulanya memaklumkan hanya lima kedai akan dirobohkan sebelum operasi itu diperluas,” katanya.
Pada Rabu, Pentadbiran Baitulmuqaddis berkata pihak berkuasa Israel memaklumkan secara lisan kepada kira-kira 50 rakyat Palestin supaya mengosongkan kedai dan premis komersial mereka di kawasan Al-Mashtal, di pintu masuk utama ke Al-Eizariya, sebelum pagi Ahad sebagai persediaan melaksanakan arahan perobohan yang dikeluarkan pada Ogos 2025.
Pentadbiran itu berkata pihak berkuasa Israel mengancam untuk merobohkan premis terbabit bersama kandungannya sekiranya pemilik gagal mematuhi arahan dalam tempoh ditetapkan.
Society of St. Yves, sebuah pertubuhan hak asasi manusia Katolik di bawah naungan Latin Patriarchate di Baitulmuqaddis yang menyediakan bantuan guaman kepada rakyat Palestin, turut berkata pada Ahad bahawa pihaknya memperoleh keputusan Mahkamah Agung Israel untuk membekukan perobohan 50 premis komersial di Al-Eizariya selepas memfailkan permohonan undang-undang bagi membela individu terbabit.
Pertubuhan hak asasi Palestin dan Israel menuduh pihak berkuasa Israel menekan pihak berkaitan supaya menyekat pembinaan Palestin di Baitulmuqaddis Timur, sambil pada masa sama mempercepat peluasan penempatan haram di bandar itu.
Sejak bermulanya perang Israel di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023, serangan Israel semakin meningkat di Tebing Barat, mengakibatkan lebih 1,155 rakyat Palestin maut, 11,000 kenderaan musnah dan 22,000 rakyat Palestin ditahan, menurut sumber Palestin.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial