HANGZHOU, 12 Mei (Bernama-CMG) -- China giat melaksanakan strategi pendigitalan pendidikan di peringkat kebangsaan, termasuk berkongsi sumber pendidikan digital berkualiti dengan pelajar di seluruh dunia.
Naib Presiden China Han Zheng berkata China juga bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi membina ekosistem pendidikan digital global yang lebih adil, inklusif dan mampan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Pendidikan Digital Dunia 2026 bertemakan “AI + Pendidikan: Transformasi, Pembangunan, Tadbir Urus” di Hangzhou pada Isnin.
Menurut Han, kecerdasan buatan (AI) memberi kesan mendalam terhadap sektor pendidikan, justeru pendidikan berkaitan AI perlu diperkukuh di semua peringkat persekolahan selain memperluas literasi AI dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata usaha itu selaras dengan arahan Presiden China Xi Jinping.
Han berkata perkembangan AI bukan sahaja membuka peluang penting kepada pembangunan pendidikan global, malah turut membawa cabaran bersama kepada pelbagai negara.
Sehubungan itu, katanya, China bersedia bekerjasama dengan semua pihak untuk membincangkan wawasan pembangunan dan tadbir urus pendidikan digital, menambah baik sistem peraturan serta kriteria, selain bersama-sama memacu transformasi dan inovasi pendidikan digital.
Han turut mengemukakan empat cadangan, iaitu pertama, melahirkan generasi baharu yang mahir menyelesaikan masalah, berupaya mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat, mampu menggunakan AI dengan berkesan serta memimpin pembangunan masa depan.
Kedua, mendorong pembinaan dan perkongsian bersama infrastruktur digital agar manfaat integrasi teknologi digital dan pendidikan dapat dinikmati oleh lebih ramai orang.
Ketiga, mewujudkan sistem pemantauan dan penilaian risiko bagi memastikan manfaat pembangunan teknologi AI benar-benar dapat dirasai pelajar secara menyeluruh.
Keempat, mengekalkan sikap terbuka dan semangat inovasi dengan memanfaatkan kerangka pelbagai hala seperti UNESCO, memanfaatkan peranan Perikatan Pendidikan Digital Dunia (WDEA), serta mengeratkan pertukaran dan kerjasama antarabangsa bagi menggalakkan pembangunan pendidikan digital yang sihat.
Turut hadir dan menyampaikan ucapan pada majlis itu ialah Ketua Pengarah UNESCO Audrey Azoulay, manakala Presiden Konfederasi Switzerland yang juga Ketua Jabatan Hal Ehwal Ekonomi, Pendidikan dan Penyelidikan Guy Parmelin menyampaikan ucapan menerusi video.
Majlis perasmian persidangan itu menghimpunkan lebih 850 peserta daripada jabatan kerajaan, organisasi antarabangsa, sekolah, universiti, sektor korporat dan ahli akademik dari dalam serta luar negara.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial