DUNIA > BERITA

65 Kapal Komersial Diubah Haluan Di Bawah Sekatan Tentera Laut Di Iran - AS

12/05/2026 10:28 PM

ISTANBUL, 12 Mei (Bernama-Anadolu) -- Puluhan kapal komersial yang cuba memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran telah diubah haluan, menurut tentera Amerika Syarikat (AS) ketika Washington terus menguatkuasakan sekatan tentera laut terhadap Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Menurut Perintah Pusat AS (CENTCOM), 65 kapal komersial telah diubah haluan dan empat dilumpuhkan sebagai sebahagian daripada operasi itu.

“USS Abraham Lincoln (CVN 72) meneruskan operasi di Laut Arab, termasuk penguatkuasaan sekatan AS terhadap Iran,” menurut CENTCOM dalam hantaran di X.

Ketegangan serantau meningkat mendadak selepas AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, mencetuskan tindakan balas Iran terhadap Israel dan sekutu AS di Teluk serta penutupan Selat Hormuz.

Gencatan senjata melalui pengantaraan Pakistan berkuat kuasa pada 8 April, walaupun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian kekal.

Presiden AS Donald Trump kemudiannya mengumumkan gencatan senjata akan kekal, walaupun ketegangan tentera dan sekatan maritim berterusan di rantau Teluk.

AS meneruskan sekatan tentera laut terhadap Iran sejak 13 April.

Jumaat lepas, CENTCOM menyatakan AS telah menghalang 70 kapal tangki daripada memasuki atau meninggalkan pelabuhan Iran, yang mempunyai kapasiti untuk menampung lebih 166 juta tong minyak bernilai lebih US$13 bilion.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan