DUNIA > BERITA

Suruhanjaya Eropah Cadang Peraturan Mudahkan Tempahan, Perjalanan Kereta Api

13/05/2026 11:24 PM

BRUSSELS, 13 Mei (Bernama-Xinhua) -- Suruhanjaya Eropah pada Rabu mencadangkan peraturan baharu yang bertujuan memudahkan perancangan dan tempahan perjalanan di seluruh Eropah, khususnya bagi perjalanan kereta api yang melibatkan pelbagai pengendali serta laluan rentas sempadan, lapor Xinhua.

Pakej itu merangkumi tiga cadangan yang direka untuk memudahkan tempahan perjalanan serantau, jarak jauh dan rentas sempadan, di samping memperkukuh perlindungan penumpang sepanjang perjalanan kereta api.

Menurut Suruhanjaya itu, penumpang di Kesatuan Eropah (EU) ketika ini berdepan kesukaran membandingkan pilihan perjalanan, mengenal pasti pilihan yang lebih mampan serta menempah perjalanan yang menggabungkan perkhidmatan daripada pengendali pengangkutan berbeza.

Cabaran itu amat ketara dalam perjalanan kereta api apabila sistem tempahan yang berpecah-pecah serta kedudukan pasaran kukuh beberapa syarikat kereta api menyebabkan perjalanan dengan beberapa sambungan yang melibatkan pengendali berbeza menjadi lebih rumit.

Di bawah langkah yang dicadangkan itu, penumpang boleh mencari, membandingkan dan membeli perkhidmatan yang ditawarkan oleh pengendali kereta api berbeza menerusi satu tiket tunggal dalam satu transaksi melalui platform tiket pilihan mereka. Platform itu boleh dikendalikan sama ada oleh penyedia perkhidmatan tiket bebas atau pengendali kereta api sendiri.

Penumpang yang memegang satu tiket bagi perjalanan kereta api melibatkan pelbagai pengendali turut akan mendapat perlindungan penuh hak penumpang sekiranya terlepas sambungan perjalanan, termasuk bantuan, laluan alternatif, bayaran balik dan pampasan.

Suruhanjaya itu menyatakan bahasa cadangan berkenaan turut akan memperkenalkan kewajipan baharu kepada platform tiket dan pengendali pengangkutan bagi memastikan akses adil kepada jualan tiket serta penyampaian pilihan perjalanan secara neutral.

Naib Presiden Eksekutif Suruhanjaya Eropah bagi perpaduan dan reformasi, Raffaele Fitto berkata pakej itu menandakan peralihan “daripada membina rangkaian kepada memberi perkhidmatan kepada penumpang”.

“Kesalinghubungan kereta api bukan sekadar isu pengangkutan, ia juga isu perpaduan dan isu Pasaran Tunggal,” kata Fitto sambil menambah bahawa usaha mengurangkan pemecahan sistem dan mengurangkan halangan rentas sempadan akan membantu memperkukuh pasaran dalaman serta memastikan penduduk di kawasan sempadan atau luar bandar tidak dipinggirkan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Eropah bagi pengangkutan mampan dan pelancongan, Apostolos Tzitzikostas berkata cadangan itu akan menjadikan perjalanan merentasi kesemua 27 negara anggota EU “lebih mudah, lebih pintar dan lebih mesra penumpang”.

Beliau berkata dengan penggunaan alat digital dan perkhidmatan mobiliti bersepadu, rakyat Eropah akan dapat merancang, membandingkan dan membeli perjalanan multimodal rentas sempadan dengan lebih mudah, di samping menikmati hak penumpang kereta api yang lebih kukuh, ketelusan lebih tinggi dan perlindungan yang lebih baik.

Peraturan yang dicadangkan itu akan dikemukakan kepada Majlis Kesatuan Eropah dan Parlimen Eropah untuk pertimbangan mengikut prosedur perundangan biasa.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan