DUNIA > BERITA

Australia Tonjol Identiti Pelbagai Budaya, Agama Di Malaysia

13/05/2026 11:27 PM

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Australia berusaha memperkukuh persefahaman antara agama serta menonjolkan identiti moden pelbagai budayanya menerusi penglibatan budaya dan agama yang lebih mendalam dengan Malaysia, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke.

Berucap pada pelancaran model seni bina Masjid Bandaraya Adelaide yang bersejarah di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini pada Rabu, Heinecke berkata Australia mahu mempamerkan kepelbagaian masyarakatnya, termasuk komuniti Islam yang telah lama bertapak dengan kira-kira sejuta umat Islam kini menetap di negara itu.

“Kami benar-benar mahu menunjukkan siapa Australia pada hari ini. Saya fikir kami tidak mahu menampilkan Australia pada masa lalu, sebaliknya mahu menampilkan Australia sebagaimana negara itu hari ini.

“Ini termasuk komuniti pelbagai budaya yang sangat dinamik, komuniti antara agama serta kira-kira sejuta umat Islam yang kini tinggal di Australia,” katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Heinecke berkata lawatan Presiden Australian National Imams Council dan pengasas Alliance of Australian Muslims, Imam Shadi Alsuleiman, adalah sebahagian daripada usaha menggalakkan dialog serta bertukar pandangan mengenai kehidupan dalam masyarakat pelbagai budaya dan agama.

“Kami mahu membawa beliau (Shadi) ke sini untuk berdialog dan belajar antara satu sama lain tentang bagaimana rasanya hidup dalam komuniti pelbagai budaya dan agama,” katanya.

Heinecke berkata konflik global semakin menjejaskan keharmonian dalam komuniti, sekali gus menjadikan kepimpinan dan penglibatan antara agama semakin penting.

Sementara itu, Shadi menekankan kepentingan dialog dan penglibatan dalam memupuk rasa saling hormat-menghormati dalam masyarakat yang pelbagai.

“Kita hidup dalam dunia yang sangat pelbagai. Orang ramai mempunyai kepercayaan yang berbeza dan ramai orang juga pada masa kini tidak mempunyai pegangan agama.

“Dan itu memerlukan dialog, penglibatan serta usaha mendekati pihak lain,” katanya.

Beliau turut menekankan kerjasama antara komuniti Islam dan Yahudi di Australia susulan serangan Bondi pada 14 April lepas, sambil menegaskan bahawa insiden itu tidak sepatutnya dilihat sebagai konflik agama.

“Perkara yang paling tidak diingini susulan tragedi itu ialah ia dilihat sebagai konflik antara Yahudi dan Islam. Ia bukan konflik antara Yahudi dan Islam di Australia,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia dengan kerjasama Muzium Kesenian Islam Malaysia melancarkan model seni bina Masjid Bandaraya Adelaide yang bersejarah, masjid tertua Australia yang masih wujud, dibina pada 1888 oleh pengendali unta dari Afghanistan.

Model itu, yang dihasilkan pereka Malaysia Technibuilt berdasarkan tinjauan terperinci di Adelaide, akan menjadi sebahagian daripada koleksi tetap muzium berkenaan sebagai simbol persahabatan antara Malaysia dan Australia.

Bersempena pelancaran itu, Shadi turut menyampaikan syarahan umum mengenai pengalamannya sebagai seorang Muslim di Australia dan peranan masjid moden dalam membina komuniti inklusif, selain berinteraksi dengan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Al-Akhlas Hope Society.

Pelancaran itu menyusuli ulang tahun ke-70 kehadiran diplomatik Australia di Malaysia pada 2025, sekali gus mencerminkan hubungan yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan