DUNIA > BERITA

PM Bahamas Philip Davis Cipta Sejarah Menang Penggal Kedua

14/05/2026 07:23 PM

MEXICO CITY, 14 Mei (Bernama-Anadolu) -- Perdana Menteri Bahamas Philip Davis mencipta sejarah apabila menjadi pemimpin pertama negara yang memenangi penggal kedua berturut-turut dalam tempoh 30 tahun.

Pilihan raya yang sepatutnya diadakan pada Oktober itu diawalkan oleh Davis susulan kebimbangan terhadap musim taufan, selain ketidakpuasan rakyat yang semakin meningkat berhubung isu ekonomi, keselamatan dan perkhidmatan kesihatan, lapor Anadolu Ajansi.

Sebanyak 41 kerusi dipertandingkan melibatkan Parti Liberal Progresif (PLP) yang memerintah, Free National Movement (FNM) dan Coalition of Independents (COI).

Menurut keputusan terkini yang dipetik Nassau Guardian, PLP memperoleh 25 kerusi, sekali gus memastikan kemenangan selesa kepada Davis yang berkempen atas platform kestabilan dan kesinambungan pentadbiran.

“Rakyat Bahamas telah membuat pilihan mereka. Hari ini, rakyat Bahamas memilih kemajuan dan memilih untuk terus mara ke hadapan bersama pasukan serta kepimpinan saya,” kata Davis dalam ucapan kepada penyokongnya.

Sementara itu, pembangkang FNM hanya memenangi lapan kerusi, menurut pemimpinnya Michael Pintard.

FNM sebelum ini menumpukan kempen terhadap isu imigresen, khususnya melibatkan migrasi dari Haiti, selain menjanjikan pembaharuan terhadap dasar percukaian dan keselamatan negara.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump turut mengucapkan tahniah kepada Davis atas kemenangan itu serta menyatakan hasrat untuk meneruskan kerjasama ekonomi dan pelaburan dengan Bahamas.

Dengan kira-kira 200,000 pengundi berdaftar di 41 kawasan pilihan raya, keputusan pilihan raya 2026 menunjukkan sokongan kukuh rakyat terhadap parti pemerintah, lima tahun selepas Davis memulakan penggal pertamanya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan