DUNIA > BERITA

Wabak Norovirus Di Kapal Persiaran Berlabuh Di Bordeaux

14/05/2026 07:25 PM

PARIS, 14 Mei (Bernama-Xinhua) -- Wabak jangkitan di atas kapal persiaran “Ambition” yang berlabuh di Bordeaux, barat daya Perancis disahkan sebagai virus gastroenteritis berpunca daripada norovirus, menurut pihak berkuasa wilayah Gironde pada Rabu, lapor Xinhua.

Menurut kenyataan itu, tiada kes serius dilaporkan setakat ini, manakala penumpang dan anak kapal yang tidak bergejala dibenarkan meninggalkan kapal berkenaan.

Kapal “Ambition” yang dikendalikan syarikat British, Ambassador Cruise Line tiba di Bordeaux pada petang Selasa.

Kira-kira 1,700 penumpang dan anak kapal pada mulanya tidak dibenarkan turun selepas seorang penumpang berusia sekitar 90 tahun meninggal dunia di atas kapal itu.

Kematian berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan “penyakit menyerupai gastroenteritis”, susulan gejala pencernaan dalam kalangan kira-kira 80 orang.

Analisis epidemiologi dan biologi yang dijalankan di Hospital Universiti Bordeaux kemudian mengesahkan wabak itu berpunca daripada virus.

Pihak berkuasa memaklumkan individu yang dijangkiti akan terus diasingkan di atas kapal, manakala langkah kuarantin dan kebersihan terus dikuatkuasakan bagi membendung penularan.

Pengendali kapal persiaran itu akan menentukan sama ada pelayaran diteruskan selepas menerima maklumat perubatan lanjut.

Norovirus, yang sangat mudah berjangkit merupakan antara punca lazim gastroenteritis akut dan sering dikaitkan dengan wabak di kawasan tertutup seperti kapal persiaran.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan