DUNIA > BERITA

Trump Dakwa AS ‘Raih Keuntungan’ Daripada Minyak Venezuela Selepas Operasi Ketenteraan

16/05/2026 10:27 AM

HAMILTON (Kanada), 16 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Donald Trump berkata pada Jumaat bahawa Washington melaksanakan operasi ketenteraan pantas di Venezuela yang menyasarkan bekas Presiden Nicolas Maduro, dan Amerika Syarikat (AS) sejak itu meraih “keuntungan besar” daripada minyak Venezuela, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Saya membina angkatan tentera paling kuat di dunia dalam tempoh empat tahun pertama saya dan ia terbukti di Venezuela,” kata Trump dalam temu bual dengan Fox News selepas beliau melawat China, sambil menambah operasi untuk menyingkirkan Maduro berlangsung selama “48 minit dan 13 saat, dan semuanya selesai.”

Beliau berkata Venezuela ialah “sebuah negara kuat dengan ketenteraan yang kuat, tetapi ia berlaku dengan sangat pantas.”

“Selain itu, kami meraih keuntungan besar daripada minyak mereka,” katanya, sambil mendakwa Caracas juga memperoleh “lebih banyak wang dalam tempoh lapan bulan lepas berbanding 10 tahun lalu.”

Ketika ditanya mengenai situasi di Cuba, Trump menjawab: “Saya fikir kami akan mengubahnya.”

Beliau menyifatkan negara itu sebagai sebuah negara yang gagal dan berhujah bahawa “saya fikir mereka perlu datang kepada kami.”

Merujuk kepada tawaran bantuan kemanusiaan AS bernilai US$100 juta untuk Cuba yang diumumkan baru-baru ini, Trump berkata: “Mereka menerima bantuan itu; mereka mahukan bantuan. Mereka perlukan pertolongan.”

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan