DUNIA > BERITA

Polis Rampas Lebih 30 Senjata Api, Busur Silang Di Kediaman Penyerang Masjid San Diego

20/05/2026 09:35 AM

WASHINGTON, 20 Mei (Bernama-Anadolu) -- Polis pada Selasa memaklumkan bahawa mereka telah merampas lebih 30 senjata api dan satu busur silang dari kediaman yang dikaitkan dengan remaja bersenjata yang membunuh tiga individu di sebuah masjid di San Diego, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Ejen khas yang bertanggungjawab ke atas pejabat luar Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di San Diego, Mark Remily berkata pihak berkuasa melaksanakan tiga waran geledah di kediaman yang dikaitkan dengan suspek dan merampas pelbagai pistol, raifal, senapang patah, peluru, kelengkapan taktikal serta peranti elektronik dari dua lokasi berkenaan.

Remily berkata penyiasat menemukan bahan bertulis pada suspek selepas kejadian tembakan itu dan sedang berusaha mendapatkan waran tambahan bagi memeriksa peranti yang dirampas dari lokasi kejadian.

“Kami juga telah melaksanakan waran geledah terhadap peranti elektronik yang dibawa suspek ketika kejadian dan sedang dalam proses mendapatkan waran tambahan bagi peranti yang ditemukan dalam kenderaan yang mereka gunakan.

“Kami masih meneliti peranti elektronik untuk mendapatkan jawapan, namun apa yang boleh saya katakan ialah mereka jelas mempunyai kebencian meluas terhadap ramai pihak,” tambah beliau.

Kejadian tembakan itu sedang disiasat sebagai jenayah kebencian.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan