DUNIA > BERITA

Semua Mayat Penyelam Itali Yang Hilang Ditemukan: Kerajaan Maldives

20/05/2026 09:48 PM

MALE, 20 Mei (Bernama-Xinhua) -- Pihak berkuasa Maldives telah menemukan dua mayat terakhir penyelam Itali yang hilang semasa aktiviti menyelam gua di Atol Vaavu, sekali gus menamatkan operasi mencari dan menyelamat selama beberapa hari, menurut media rasmi Maldives PSM News pada Rabu, lapor Xinhua.

Ketua Jurucakap Kerajaan Mohamed Hussain Shareef memberitahu PSM News bahawa mayat berkenaan ditemukan pada Rabu dengan sokongan daripada Pengawal Pantai Pasukan Pertahanan Negara Maldives, polis dan sepasukan penyelam teknikal Finland yang dihantar oleh kerajaan Itali.

Mayat pengajar selam kumpulan itu telah ditemukan pada 15 Mei, sehari selepas lima warga Itali berkenaan gagal timbul semula semasa aktiviti menyelam pada 14 Mei, lapor PSM News.

Pihak berkuasa kemudiannya menemukan dua lagi mayat pada Selasa.

Shareef berkata para pegawai sedang berusaha untuk mengenal pasti mayat tersebut dan sedang berkoordinasi dengan kerajaan Itali untuk menghantar pulang mayat berkenaan.

Kesemua penyelam itu ditemukan di dalam sistem gua tempat mereka melakukan aktiviti menyelam.

Sebelum ini dilaporkan bahawa kumpulan berkenaan cuba menerokai gua pada kedalaman kira-kira 50 meter.

Mangsa termasuk seorang profesor biologi marin dari Universiti Genoa di Itali, anak perempuannya, dan dua penyelidik muda, menurut kenyataan daripada universiti berkenaan.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan