GENEVA, 20 Mei (Bernama-Xinhua) -- Risiko wabak Ebola adalah "tinggi di peringkat kebangsaan dan wilayah, manakala rendah di peringkat global," dan situasi semasa bukan satu "kecemasan pandemik," menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu, lapor Xinhua.
Bercakap dalam satu sidang media, Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata Jawatankuasa Kecemasan WHO mengadakan mesyuarat pada Selasa dan bersetuju dengan penilaian awal beliau bahawa situasi Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) dan Uganda merupakan Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC), namun ia bukan kecemasan pandemik.
Pada awal Ahad, Tedros mengisytiharkan PHEIC bagi wabak Ebola di kedua-dua negara berkenaan, menandakan kali pertama ketua WHO berbuat demikian tanpa mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan terlebih dahulu.
Setakat ini, sebanyak 51 kes disahkan di wilayah utara Ituri dan North Kivu di DRC, kata Tedros, sambil menjelaskan yang skala wabak di DRC adalah jauh lebih besar.
Uganda juga memaklumkan kepada WHO mengenai dua kes yang disahkan di ibu negara Kampala, termasuk satu kematian, melibatkan dua individu yang melakukan perjalanan dari DRC ke Uganda, katanya. Beliau berkata seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang bekerja di DRC turut disahkan positif.
Selain kes yang disahkan, terdapat hampir 600 kes susulan dan 139 kematian yang disyaki, kata Tedros.
Beliau berkata WHO menjangkakan angka berkenaan akan terus meningkat, mengambil kira tempoh masa virus itu menular sebelum wabak itu berjaya dikesan.
Tedros menegaskan adalah penting untuk bertindak serta-merta bagi mengelakkan lebih banyak kematian dan menggerakkan tindak balas antarabangsa yang berkesan.
WHO mengerahkan kakitangan, bekalan, peralatan dan dana bagi menyokong pihak berkuasa tempatan untuk bertindak balas, katanya.
Ketua WHO itu berkata beliau meluluskan peruntukan tambahan sebanyak US$3.4 juta daripada Dana Kontingensi untuk Kecemasan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak US$3.9 juta.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial