KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyuarakan kecaman sekeras-kerasnya terhadap tindakan pencerobohan, keganasan dan penghinaan yang dilakukan tentera pendudukan Israel terhadap aktivis flotila bantuan Global Sumud Flotilla (GSF) yang menuju ke Gaza, di bawah pengawasan Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir.
Sekretariat Agung itu menegaskan bahawa serangan kejam itu merupakan jenayah keganasan terancang yang menambah rekod jenayah berulang kali dilakukan rejim Zionis Israel dengan menyasarkan secara sistematik institusi, konvoi dan petugas bantuan kemanusiaan di lapangan.
“OIC turut meletakkan tanggungjawab sepenuhnya ke atas rejim Zionis Israel terhadap nyawa dan keselamatan para peserta flotila kemanusiaan ini,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
OIC turut mengulangi bahawa penerusan sekatan haram Israel ke atas Semenanjung Gaza merupakan jenayah perang dan hukuman kolektif yang memerlukan akauntabiliti di bawah undang-undang jenayah antarabangsa.
OIC turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawab masing-masing bagi memastikan pelaksanaan fasa kedua pelan damai selaras dengan Resolusi 2803 Majlis Keselamatan PBB, pembukaan semua pintu sempadan, perlindungan terhadap petugas kemanusiaan serta penyaluran bantuan kemanusiaan yang mencukupi dan tanpa halangan ke Semenanjung Gaza.
Satu video yang dikongsikan oleh Ben-Gvir, pemimpin parti Otzma Yehudit, rakan utama gabungan kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, pada awal Rabu menunjukkan aktivis terbabit dimalukan sejurus tiba di pelabuhan Ashdod.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial