ISTANBUL, 25 Mei (Bernama-Anadolu) -- Pegawai Oman dan Iran mengadakan perbincangan mengenai prinsip yang mengawal kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz selaras dengan undang-undang antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Kementerian Luar Oman pada Ahad.
Perbincangan itu berlangsung dalam satu pertemuan di Muscat antara Menteri Luar Oman Badr Albusaidi dan Timbalan Menteri Luar Iran bagi Hal Ehwal Undang-Undang dan Antarabangsa Kazem Gharibabadi, yang sedang melawat kesultanan itu bersama delegasi diplomatik dan perundangan.
Menurut kenyataan kementerian itu, pertemuan berkenaan diadakan selepas Gharibabadi menyampaikan mesej daripada Menteri Luar Iran Abbas Araghchi berhubung perkembangan serantau dan rundingan Iran-Amerika Syarikat (AS) yang sedang berlangsung melalui pengantaraan Pakistan.
Kementerian itu berkata “selepas pertemuan itu, satu sesi diperluas diadakan antara delegasi Oman dan Iran bagi membincangkan satu set prinsip yang mengawal kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz selaras dengan peraturan undang-undang antarabangsa.”
Delegasi kedua-dua negara turut “bertukar pandangan dan idea susulan perkembangan terkini serta keperluan membina dan membangunkan keupayaan” bagi memastikan “keselamatan pergerakan kapal, perdagangan dan rantaian bekalan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan kedua-dua pihak membincangkan usaha memulihkan “kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz secara selamat dan mampan.”
Agensi berita Tasnim pada Ahad melaporkan, memorandum persefahaman yang berpotensi antara Iran dan AS merangkumi penamatan perang di semua medan.
a termasuk serangan Israel di Lubnan, selain komitmen Washington untuk mengetepikan sekatan terhadap minyak Iran sepanjang rundingan.
Jika persetujuan dicapai, Selat Hormuz tidak akan kembali sepenuhnya kepada status sebelum perang, sebaliknya jumlah kapal yang dibenarkan melaluinya akan dipulihkan ke paras sebelum perang dalam tempoh 30 hari, lapor Tasnim.
Laporan itu turut menyebut Iran menekankan penguatkuasaan hak kedaulatannya ke atas Selat Hormuz melalui pelbagai kaedah, yang perinciannya akan diumumkan kemudian.
Presiden AS Donald Trump pada Sabtu berkata satu persetujuan dengan Iran bagi menamatkan perang itu “sebahagian besarnya telah dirundingkan” dan menunggu dimuktamadkan.
Perkembangan itu berlaku selepas lawatan ketua tentera Pakistan Asim Munir ke Tehran, yang merupakan lawatan keduanya dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Gencatan senjata dalam perang yang bermula pada 28 Feb itu pertama kali diusahakan melalui pengantaraan Pakistan pada 8 April.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial