DUNIA > BERITA

Pendaki Malaysia Cedera Di Gunung Rinjani Dibawa Ke Hospital Di Bali

26/05/2026 07:30 PM

Daripada Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 26 Mei (Bernama) -- Seorang wanita warga Malaysia yang mengalami kecederaan parah selepas terjatuh ketika menuruni Gunung Rinjani di Nusa Tenggara Barat berjaya dipindahkan dengan helikopter ke sebuah hospital di Bali.

Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas) dalam satu kenyataan memaklumkan pendaki itu diselamatkan pada pagi Selasa selepas cuaca buruk menangguhkan operasi menyelamat semalaman.

Menurut agensi itu, wanita tersebut mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkannya tidak dapat bergerak dan pada mulanya dipindahkan oleh porter dan pemandu pelancong ke Pelawangan 2 Sembalun sebelum anggota penyelamat tiba di tempat kejadian.

“Bertindak balas atas laporan yang diterima pada Isnin, anggota penyelamat dari pos penyelamat Kayangan dan Pejabat SAR Mataram segera dikerahkan ke lokasi. Bagi mempercepat proses pemindahan, sebuah helikopter yang dikendalikan oleh PT SGi Air Bali telah dihantar terus dari Bali," menurut agensi itu.

Ketua Pejabat SAR Mataram Muhamad Hariyadi yang berkhidmat sebagai Penyelaras Misi SAR berkata pemindahan udara terpaksa ditangguhkan lebih awal, berikutan keadaan kabus tebal dan jarak penglihatan rendah di kawasan pergunungan, dan hanya disambung semula selepas jarak penglihatan diisytiharkan selamat.

“Selepas persiapan pemindahan selesai, mangsa segera dipindahkan ke dalam helikopter yang berlepas dari Pelawangan 2 menuju ke Bali pada 8.17 pagi waktu tempatan.

“Helikopter itu mendarat di helipad Benoa di Bali pada 9.05 pagi waktu tempatan, sebelum mangsa dirujuk ke Hospital Inmedika Sanur di Bali untuk rawatan lanjut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan