Oleh Shakir Husain
HYDERABAD, 3 Jun (Bernama) -- Ahli politik terkemuka India, K.T. Rama Rao akan berada di Kuala Lumpur hujung minggu ini bagi menghadiri acara anjuran komuniti Telugu Malaysia.
Rao, yang juga presiden kerja Bharat Rashtra Samithi (BRS), bekas parti pemerintah negeri Telangana, akan menyertai sambutan Hari Pembentukan Telangana.
“Diaspora Telangana telah mengundang kami, jadi saya hadir bagi memenuhi jemputan mereka,” kata Rao kepada Bernama di Hyderabad pada Rabu.
Beberapa pemimpin BRS turut dijangka berada di Malaysia bagi menyertai sambutan itu.
Telangana secara rasmi menjadi sebuah negeri pada 2 Jun 2014 selepas Andhra Pradesh, negeri yang majoriti penduduknya bertutur dalam bahasa Telugu, dibahagikan.
Telangana merangkumi kurang tiga peratus daripada populasi India dan menyumbang kira-kira lima peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara itu. Ibu negerinya, Hyderabad merupakan antara hab perniagaan dan teknologi utama India.
Rao, yang lebih dikenali sebagai KTR, pernah ke Dallas, Amerika Syarikat pada Jun tahun lepas bagi meraikan Hari Pembentukan Telangana dan jubli perak partinya, yang dianjurkan penyokongnya dalam kalangan komuniti warga India bukan pemastautin (NRI).
Acara di Kuala Lumpur itu akan diadakan di pusat konvensyen Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) pada Sabtu dan dijangka menarik penyertaan anggota komuniti Telugu dari Asia Tenggara.
Acara berkenaan turut menampilkan aktiviti yang mempamerkan warisan budaya Telangana.
Timbalan Presiden Persatuan Telugu Malaysia (TAM), Sathiah Sudakaran menerusi hantaran di Facebook pada Selasa berkata acara itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Telangana Malaysia (MYTA), BRS Malaysia dan TAM.
Satu sesi ramah mesra turut dijadualkan pada Ahad di Akademi TAM di Rawang, bagi membolehkan pemimpin dari Telangana berinteraksi dengan ahli TAM.
“Pada awalnya, kami merancang acara di enam hingga tujuh negara di seluruh dunia. Selepas Amerika Syarikat, kami memilih Malaysia kerana negara ini mempunyai populasi Telugu yang besar, termasuk masyarakat dari Telangana.
“Oleh itu, kami dapat mendekati NRI di Singapura dan negara lain di rantau ini,” kata penyelaras global BRS NRI, Mahesh Bigala kepada akhbar Telangana Today yang berpangkalan di Hyderabad baru-baru ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial