ISTANBUL, 6 Jun (Bernama-Anadolu) -- Operasi trafik udara Kuwait disambung semula pada Sabtu selepas digantung sementara susulan serangan Iran, menurut Direktorat Penerbangan Awam Kuwait, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik agensi berita tempatan.
“Operasi trafik udara disambung semula bermula sejak 6.15 pagi (0315 GMT), selepas penyelarasan dengan pihak berkuasa berkaitan dan pengesahan keadaan kembali stabil serta ancaman telah dihapuskan selepas negara ini menjadi sasaran serangan” oleh Tehran, menurut kenyataan direktorat itu yang disiarkan Agensi Berita Kuwait.
Sebelum ini, “ruang udara Kuwait ditutup sementara sebagai langkah berjaga-jaga, manakala 11 penerbangan yang dikendalikan oleh Kuwait Airways dan Jazeera Airways dilencongkan ke lapangan terbang berhampiran,” menurut kenyataan itu lagi.
Pada awal hari itu, pegawai Kuwait memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara negara itu sedang bertindak balas terhadap “ancaman peluru berpandu dan dron bermusuhan” yang dilancarkan Iran.
Ketegangan serantau semakin memuncak selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan udara ke atas Iran pada akhir Februari, sekali gus mencetuskan siri serangan balas yang memperluas ketidakstabilan di rantau itu.
Sebagai tindak balas, Iran kemudiannya melancarkan serangan terhadap Israel dan menyasarkan negara yang menempatkan pangkalan tentera AS, selain turut mengganggu perkapalan melalui Selat Hormuz, laluan penting bagi bekalan tenaga global.
Satu gencatan senjata kemudian berkuat kuasa, namun usaha diplomatik bagi mencapai perjanjian yang lebih menyeluruh masih diteruskan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial