Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
MERSING, 7 Jun (Bernama) -- Di sebalik landskap menghijau di Mersing, Johor, sekumpulan lembu tenusu baka Australia membantu merealisasikan hasrat tempatan untuk memperkukuh industri susu segar Malaysia, mengurangkan kebergantungan terhadap susu premium import serta membina ekosistem ekonomi baharu berasaskan penternakan tenusu.
Jemaluang Dairy Valley (JDV), yang terletak di kawasan seluas kira-kira 275 hektar di Jemaluang, sedang dibangunkan sebagai projek penternakan tenusu bersepadu dengan sasaran kapasiti 4,000 ekor lembu dan pengeluaran susu tahunan 10 juta liter menjelang tahun ketiga operasinya.
Ladang itu, yang mula beroperasi kira-kira tujuh hingga lapan bulan lalu, merupakan perkongsian antara A2 Fresh Holdings Sdn Bhd dan Kulim (Malaysia) Berhad, syarikat berkaitan kerajaan negeri Johor di bawah JCorp.
Ia antara perniagaan yang diketengahkan semasa lawatan media anjuran Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia, mencerminkan peranan ternakan dan kepakaran tenusu Australia dalam menyokong agenda pertanian serta keselamatan makanan Malaysia.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif JDV Qasem Alhasan, projek itu bukan sekadar menghasilkan susu, sebaliknya membina rantaian nilai industri tenusu yang lebih luas melibatkan penternakan, pemprosesan, sokongan kepada penternak, latihan, pengeluaran makanan ternakan dan agro-pelancongan.
“Di Jemaluang Dairy Valley, mandat kami tidak pernah terhad kepada menjana keuntungan semata-mata, sebaliknya impian kami adalah membina legasi berkekalan yang memberi manfaat kepada rakyat Malaysia dan khususnya rakyat Johor,” katanya.
Tunjang utama projek itu ialah lembu tenusu kacukan Australia, dipilih berdasarkan keupayaannya menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan lembap di Malaysia.
Usahawan kelahiran Syria itu berkata Australia telah membangunkan lembu tenusu yang lebih sesuai dengan iklim tempatan, menjadikannya penting dalam usaha JDV meningkatkan pengeluaran susu segar di Malaysia.
“Lembu-lembu yang diimport dari Australia amat sesuai dengan persekitaran Malaysia. Australia ialah negara yang selamat dan bebas daripada penyakit kaki dan mulut serta bruselosis, jadi lembu-lembu itu tidak memerlukan kuarantin di Malaysia,” katanya.
JDV kini memiliki 1,900 ekor lembu termasuk anak lembu, selepas mengimport 1,000 ekor lembu dari Australia. Sebanyak 500 ekor lagi dijangka tiba sekitar September atau Oktober tahun ini.
Ladang itu menggunakan teknologi pembiakan termasuk "sexed semen" (teknologi pemilihan jantina anak lembu) bagi meningkatkan jumlah anak lembu betina yang diperlukan untuk penghasilan susu.
Anak lembu yang lahir di Malaysia dijangka mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran tempatan, sekali gus menjadi sebahagian daripada pelan jangka panjang JDV untuk membangunkan kumpulan lembu tenusu yang diternak secara tempatan.
Qasem berkata Malaysia pada masa ini menghasilkan kira-kira 42 juta liter susu segar setahun, manakala JDV menyasarkan pengeluaran lima juta liter tahun ini, tujuh juta liter tahun depan dan 10 juta liter menjelang tahun ketiga operasinya.
Jumlah pengeluaran itu akan menjadikan ladang berkenaan penyumbang penting kepada penghasilan susu segar tempatan, khususnya dalam segmen susu premium A2-A2.
Semua lembu di JDV ialah lembu A2-A2 yang telah menjalani ujian DNA di Australia. Susu A2-A2 mengandungi protein beta-kasein A2-A2, yang menurut Qasem lebih mudah dihadam dan lebih hampir kepada susu ibu.
Ketika ini, sebahagian besar susu A2-A2 di Malaysia diimport dan dijual pada harga lebih tinggi berbanding susu biasa. JDV berhasrat untuk mengubah keadaan itu dengan menghasilkan susu A2-A2 tempatan pada harga yang lebih hampir kepada susu biasa.
“Kami mahu menjadi pemain tempatan yang menghasilkan susu lebih sihat ini pada harga setanding susu biasa supaya semua orang mampu membelinya,” katanya.
Usaha ke arah pembangunan hiliran itu kini mula menjadi kenyataan dengan sebuah kilang susu sedang dibina kurang 200 meter dari pusat pemerahan susu. Kilang itu dijangka siap menjelang akhir tahun ini, dengan JDV menyasarkan untuk memasuki pasaran pada suku kedua tahun depan.
Buat masa ini, ladang itu membekalkan susu mentah kepada pengilang.
Selain pengeluaran sendiri, JDV turut meletakkan dirinya sebagai sistem sokongan kepada penternak tenusu kecil-kecilan, dengan perancangan membekalkan makanan ternakan berkualiti tinggi serta membeli semula susu menerusi pusat pengumpulan.
Qasem berkata antara cabaran terbesar ladang tenusu kecil-kecilan di Malaysia ialah akses pasaran, khususnya dalam mencari pembeli tetap bagi hasil susu mereka.
Projek itu turut merangkumi rancangan membangunkan hab makanan ruminan Johor, pusat latihan serta program penternakan satelit yang berpotensi mewujudkan limpahan manfaat lebih meluas kepada penternak tempatan dan usahawan tani muda.
JDV memaklumkan aktiviti utamanya termasuk penternakan tenusu, pemprosesan hiliran, pembangunan kilang makanan ternakan, pelancongan sekolah dan latihan, dengan impak komuniti melibatkan 45 kakitangan tempatan serta program penternakan satelit.
Teknologi moden dalam industri tenusu turut mengubah persepsi terhadap sektor itu dalam kalangan pekerja tempatan.
Di ladang berkenaan, sistem pemerahan susu berputar, pengurusan ternakan pintar, analisis makanan ternakan, sistem keselesaan lembu dan pengumpulan data telah mewujudkan peluang pekerjaan yang melangkaui tanggapan tradisional sekadar membersihkan kandang dan mengurus ternakan.
“Tanggapan mengenai pekerjaan di ladang tenusu bukan sekadar membersihkan kandang atau bangsal lembu. Mereka mempunyai lebih banyak peranan yang boleh diceburi seperti pengumpulan data, penyeliaan pusat pemerahan berputar dan penyeliaan kilang makanan ternakan,” kata Qasem.
Pusat pemerahan susu berputar JDV yang mempunyai 60 petak menggunakan sistem pengurusan ternakan berkomputer yang merekod data masa nyata dan boleh dikendalikan sehingga tiga petugas pada satu masa, berbanding enam petugas bagi sistem konvensional.
Ladang itu turut menerapkan konsep sifar sisa dengan menukarkan najis lembu kepada baja bagi ladang tanaman makanan ternakan sekali gus mengurangkan keperluan terhadap baja sintetik.
Qasem berkata JDV tidak membeli baja kimia sejak dua tahun lalu, sebaliknya menggunakan baja organik yang dihasilkan di ladang itu sendiri.
Ladang itu mempunyai kira-kira 202 hektar kawasan padang ragut hijau dan merancang menanam jagung di kawasan seluas 121 hektar bagi penghasilan silaj dalam usaha meningkatkan tahap sara diri makanan ternakan.
JDV juga sedang bersiap untuk membuka operasinya kepada sektor selain tenusu, dengan agro-pelancongan berfokuskan sekolah dirancang pada fasa pertama. Antara aktiviti yang dicadangkan termasuk lawatan melihat anak lembu, perkhemahan, tunggangan ATV dan zoo mini sebelum konsep itu dibuka kepada orang awam.
Bagi Johor, projek itu meletakkan penternakan tenusu dalam agenda ekonomi luar bandar yang lebih luas, menghubungkan aspek keselamatan makanan, penggunaan teknologi, peluang pekerjaan tempatan, latihan penternak dan pelancongan.
Bagi Malaysia pula, projek itu menunjukkan bagaimana lembu Australia yang disesuaikan dengan keadaan tempatan boleh membantu menghasilkan lebih banyak susu segar tempatan di Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial