DUNIA > BERITA

Sekurang-kurangnya Seorang Maut Akibat Gempa Bumi Di Selatan Filipina

08/06/2026 10:22 AM

MANILA, 8 Jun (Bernama-Xinhua) -- Sekurang-kurangnya seorang maut dan empat lagi cedera susulan gempa bumi yang melanda Filipina, lapor Xinhua memetik laporan media tempatan pada Isnin.

Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina memaklumkan gempa bumi luar pesisir berukuran 7.8 pada skala Richter melanda perairan selatan Filipina pada pagi Isnin dan amaran tsunami turut dikeluarkan.

Menurut institut itu, gempa bumi tektonik berkenaan berlaku pada 7.37 pagi waktu tempatan pada kedalaman 33 kilometer, dengan pusat gempa terletak 32 kilometer di barat daya pesisir bandar Maasim di wilayah Sarangani, Pulau Mindanao.

Institut itu mengeluarkan amaran tsunami kepada sembilan wilayah pesisir pantai dan menasihatkan penduduk di kawasan terbabit supaya segera berpindah ke kawasan lebih tinggi atau bergerak lebih jauh ke pedalaman selepas gempa berlaku.

Gelombang tsunami pertama dijangka tiba pada pagi Isnin dan berterusan selama beberapa jam.

Media tempatan melaporkan gempa itu merosakkan beberapa bangunan dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik. Gegaran turut dirasai di wilayah berhampiran.

Filipina kerap mengalami aktiviti seismik kerana kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik, zon utama sempadan plat tektonik yang terkenal dengan kejadian gempa bumi dan letusan gunung berapi.

-- BERNAMA-XINHUA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan