DUNIA > BERITA

Iran Tamatkan Serangan, Namun Beri Amaran Keras Jika Israel Terus Serang Lubnan

08/06/2026 11:55 PM

ISTANBUL/BAITULMUQADDIS, 8 Jun (Bernama-Anadolu) -- Iran mengumumkan pada Isnin penamatan serangannya terhadap Israel, sambil memberi amaran bahawa tindak balas yang “menghancurkan” akan dilancarkan sekiranya Israel meneruskan operasinya di Lubnan, lapor Anadolu Ajansi.

“Susulan pencerobohan dan tindakan jahat rejim Zionis yang kejam di selatan Lubnan dan wilayah Dahiya, yang berlaku dengan sokongan Amerika Syarikat, Angkatan Tentera Republik Islam Iran memberikan tindak balas yang menyakitkan terhadap rejim itu bagi menyokong rakyat Lubnan yang tertindas,” menurut Markas Pusat Khatam al-Anbiya dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita separa rasmi Tasnim.

Israel dan penyokongnya “sepatutnya mengambil iktibar” daripada tindak balas Tehran itu, tegasnya.

“Atas dasar itu, penamatan operasi ketenteraan oleh angkatan bersenjata diumumkan,” menurut kenyataan berkenaan.

Bagaimanapun, Iran memberi amaran “jika pencerobohan dan tindakan jahat itu berterusan, termasuk di selatan Lubnan, tindakan yang jauh lebih keras dan menghancurkan akan menyusul.”

Ketegangan memuncak pada Ahad apabila Israel mengebom ibu negara Lubnan, Beirut, walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa. Tindakan itu mendorong Iran melancarkan peluru berpandu ke arah utara Israel sebagai tindak balas, sebelum Israel membalas dengan beberapa gelombang serangan udara ke atas Iran.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social awal Isnin, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menggesa Israel dan Iran agar menghentikan pertempuran “serta-merta” susulan serangan udara kedua-dua pihak.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan