DUNIA > BERITA

Ekonomi Malam Dari Hanoi Hingga Siem Reap Rancakkan Aktiviti Komersial Bandar Moden

09/06/2026 01:14 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 9 Jun (Bernama) -- Bandar moden di negara membangun kini mengubah ekonomi malam tradisional menjadi pemacu utama aktiviti komersial, sekali gus merangsang perniagaan mikro dan pertumbuhan sektor pelancongan.

Daripada ibu negara Hanoi yang sibuk di utara dan metropolis Ho Chi Minh City di selatan Vietnam hingga ke Phnom Penh serta Siem Reap di Kemboja dan bandar indah Luang Prabang di Laos, perancang bandar sedang mentransformasikan perniagaan waktu malam menjadi hab ekonomi utama.

Usaha penjenamaan semula itu menandakan perubahan ketara dalam perancangan bandar di seluruh rantau Mekong, daripada aktiviti komersial yang kebanyakannya tidak formal kepada model perniagaan lebih tersusun dan berpusat di bandar yang menyuntik kerancakan ekonomi ke bandar pesat membangun.

“Ekonomi malam kini bukan lagi sekadar pasar malam atau hiburan waktu malam. Di seluruh Asia Tenggara, kerajaan semakin melihatnya sebagai pemacu penting aktiviti ekonomi, pertumbuhan pelancongan, penciptaan pekerjaan dan pembangunan bandar,” kata Presiden Cawangan Kemboja Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) Dr Thourn Sinan kepada Bernama.

Vietnam, kuasa ekonomi dan destinasi pelancongan yang semakin meningkat di Asia Tenggara, mengintegrasikan ekonomi selepas waktu kerja ke dalam pelan pembangunan bandar bagi memberi manfaat kepada perniagaan mikro, perkhidmatan kreatif dan industri kebudayaan.

Minggu lepas, Ho Chi Minh City yang mempunyai hampir 10 juta penduduk mengumumkan rancangan bercita-cita tinggi untuk memanfaatkan potensi ekonomi waktu malam dengan mengambil peluang daripada budaya makanan jalanan dan industri hiburannya yang popular.

Sementara itu, Hanoi pada Mei mengumumkan Pelan Pembangunan Ekonomi Waktu Malam bagi tempoh 2026 hingga 2030, dengan visi hingga 2045, yang menyasarkan sektor itu menyumbang kira-kira lima peratus kepada keluaran dalam negara kasar wilayahnya menjelang 2030, lapor Vietnam News.

Menurut akhbar berbahasa Inggeris itu, ekonomi waktu malam menawarkan platform ideal untuk pengkomersialan produk dan perkhidmatan budaya. Muzik, perfileman, seni persembahan, reka bentuk kreatif, kraftangan, fesyen, kulinari dan pelancongan budaya semuanya boleh mendapat manfaat daripada ekonomi waktu malam.

Demografi muda di rantau Mekong serta peningkatan golongan “nomad digital” yang membawa gaya hidup baharu dan teknologi moden mula membentuk landskap bandar di rantau itu.

“Apa yang menjadikan ekonomi malam penting ialah ia membolehkan bandar terus menjana aktiviti ekonomi jauh selepas waktu perniagaan biasa.

“Dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global ketika ini, pertumbuhan perlahan di banyak pasaran, peningkatan kos perniagaan dan perubahan corak perjalanan, kerajaan sedang mencari cara praktikal untuk merangsang aktiviti ekonomi tanpa bergantung sepenuhnya kepada pelaburan berskala besar,” kata Sinan.

Di Phnom Penh yang terkenal dengan daya tarikan pelancongan di rantau Mekong, kerajaan melaksanakan program hujung minggu “Phnom Penh Walk Street” di sepanjang Sungai Tonle Sap yang terkenal.

Kira-kira 80,000 hingga 100,000 pengunjung membanjiri kawasan itu setiap Sabtu dan Ahad, yang turut dikenali sebagai “Chaktomuk Walk Street”. Projek baharu itu mewujudkan hampir 1,400 peluang pekerjaan, termasuk kira-kira 1,000 peniaga umum dan 400 peniaga di gerai tersusun, menurut pihak berkuasa tempatan seperti dilaporkan portal dalam talian Fresh News.

Sinan berkata di banyak negara termasuk Kemboja, ekonomi malam sebahagian besarnya digerakkan oleh usahawan kecil, terutamanya penjaja makanan, artisan, penghibur dan perniagaan keluarga yang menghidupkan suasana serta identiti sesebuah destinasi.

“Sumbangan mereka kepada ekonomi jauh melangkaui hasil jualan setiap malam. Mereka turut menyokong petani tempatan, pembekal, pengendali pengangkutan dan penyedia perkhidmatan.

“Pendapatan yang diperoleh dibelanjakan dalam komuniti tempatan, sekali gus mewujudkan kesan pengganda yang memberi manfaat kepada banyak sektor lain,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan