LA PAZ, 9 Jun (Bernama-Xinhua) -- Presiden Bolivia Rodrigo Paz pada Isnin menggubal undang-undang baharu yang mengawal selia pelaksanaan keadaan darurat ketika protes dan sekatan jalan raya selama 39 hari berturut-turut telah menjejaskan bekalan, pengangkutan serta ekonomi negara, lapor agensi berita Xinhua.
Undang-undang 1740 membolehkan presiden mengisytiharkan darurat menerusi dekri tertinggi dalam situasi melibatkan ancaman terhadap keselamatan negara, ancaman luar, kekacauan dalaman atau bencana alam.
Dekri itu perlu dikemukakan kepada Plurinational Legislative Assembly, badan perundangan kebangsaan Bolivia, yang mempunyai tempoh 72 jam untuk membuat keputusan mengenainya.
Bercakap di ibu pejabat kerajaan di La Paz, Paz berkata undang-undang itu bertujuan melindungi majoriti rakyat Bolivia, mempertahankan aturan perlembagaan dan memulihkan kestabilan ekonomi.
Presiden itu berkata dialog akan terus menjadi pendekatan utama kerajaan, namun memberi amaran kepada kumpulan yang disifatkannya sebagai ganas dan dikaitkan dengan “keganasan berkaitan dadah” bahawa negara akan bertindak tegas di bawah undang-undang berkenaan.
Undang-undang yang mengandungi 27 perkara itu mengawal selia pelaksanaan keadaan darurat di bawah Perlembagaan Bolivia, menjamin hak asasi semasa pelaksanaannya serta menetapkan peranan polis, angkatan tentera dan pendakwa raya.
Paz berkata langkah itu mendapat sokongan institusi dan diluluskan menerusi majoriti khas di badan perundangan kebangsaan Bolivia.
Beliau turut menggesa angkatan tentera dan polis bertindak tegas serta profesional sambil menghormati hak asasi manusia dan kerangka perlembagaan.
Kekacauan di Bolivia diterajui oleh Central Obrera Boliviana (COB), pertubuhan peladang, kesatuan guru, pelombong dan kumpulan lain yang menuntut penyelesaian terhadap masalah ekonomi negara.
Protes dan sekatan jalan raya itu menjejaskan bekalan barangan serta bahan api di beberapa wilayah selain mencetuskan pertempuran antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan.
-- BERNAMA-XINHUA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial