DUNIA > BERITA

Laporan: Belanja Sehari Untuk Senjata Nuklear Boleh Beri Makan Dua Juta Orang

09/06/2026 02:18 PM

GENEVA, 9 Jun (Bernama-dpa) -- Sembilan negara yang memiliki senjata nuklear meningkatkan perbelanjaan senjata nuklear mereka sebanyak 19 peratus pada 2025, menurut laporan Kempen Antarabangsa Memansuhkan Senjata Nuklear (ICAN), lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).

ICAN meletakkan jumlah perbelanjaan tahun lepas pada US$119 bilion, bersamaan US$3,768 sesaat, menurut organisasi itu.

Menurut ICAN, mengikut pengiraannya, jumlah yang dibelanjakan (untuk senjata nuklear) dalam satu hari dapat memastikan dua juta orang tidak perlu bimbang tentang sumber makanan mereka seterusnya.

Organisasi itu berkata wang yang dibelanjakan sejak tiga tahun lepas sahaja boleh menamatkan kebuluran dunia.

Perbelanjaan pada 2025 juga boleh menampung belanjawan biasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama 32 tahun, menurut laporan itu.

ICAN ialah penggerak Perjanjian PBB mengenai Larangan Senjata Nuklear (TPNW) dan telah dianugerahkan Hadiah Keamanan Nobel pada 2017 untuk usahanya. Perjanjian itu mula berkuat kuasa pada 2021.

Menurut ICAN, Amerika Syarikat (AS) berbelanja untuk senjata nuklear pada 2025 lebih banyak berbanding gabungan lapan negara bersenjata nuklear yang lain.

Perbelanjaan AS berjumlah US$69.2 bilion, diikuti China dengan US$13.5 bilion. United Kingdom (UK) mengatasi Rusia untuk menduduki tempat ketiga, membelanjakan US$12.6 bilion, manakala Rusia membelanjakan US$9.5 bilion, menurut laporan itu.

Rusia mempunyai senjata nuklear terbesar, dengan 5,420 senjata, kata ICAN. Ia diikuti AS dengan 5,042, China (620), Perancis (300), UK (225), India (190), Pakistan (170), Israel (90) dan Korea Utara dengan 60.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan