DUNIA > BERITA

IAEA: Minat Terhadap Tenaga Nuklear Meningkat Ketika Negara Perkukuh Keselamatan Tenaga

10/06/2026 09:11 PM

Daripada Voon Miaw Ping

VIENNA, 10 Jun (Bernama) -- Minat global terhadap tenaga nuklear semakin meningkat apabila lebih banyak negara meneroka program tenaga nuklear bagi memperkukuh keselamatan tenaga negara untuk jangka panjang serta memacu pertumbuhan ekonomi.

Jurutera Kanan Kuasa Nuklear bagi Pembangunan Infrastruktur di Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) Matt van Sickle berkata minat terhadap tenaga nuklear meningkat ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini, didorong permintaan yang semakin tinggi terhadap bekalan elektrik yang selamat, boleh dipercayai dan bersih, usaha mitigasi perubahan iklim serta kemajuan teknologi reaktor, khususnya Reaktor Modular Kecil (SMR).

Data IAEA menunjukkan jumlah negara anggota yang memulakan program tenaga nuklear hampir meningkat dua kali ganda daripada 27 negara pada 2020 kepada 42 negara pada 2025.

Sehingga Januari tahun ini, hampir 70 negara, kebanyakannya ekonomi sedang pesat membangun di Afrika, Amerika Latin dan Asia, sama ada sedang melaksanakan atau meneroka tenaga nuklear sebagai sebahagian agenda pembangunan negara masing-masing.

Malaysia antara 28 negara yang kini berada dalam fasa membuat keputusan, iaitu apabila kerajaan menilai kebolehlaksanaan untuk memulakan program tenaga nuklear, manakala negara seperti Bangladesh, Filipina dan Arab Saudi telah memasuki fasa kedua pembangunan projek.

“Kita benar-benar menyaksikan peningkatan minat global terhadap tenaga nuklear. Dalam tempoh tiga atau empat tahun kebelakangan ini, kami melihat minat yang lebih tinggi berbanding sepanjang tempoh sebelum ini.

“Hampir setiap dua minggu kami menerima permintaan daripada negara anggota bagi mendapatkan sokongan dan pembangunan infrastruktur di seluruh dunia,” katanya kepada wartawan pada satu seminar.

Ketua Pengarah IAEA Rafael Mariano Grossi awal minggu ini berkata minat global terhadap tenaga nuklear kekal kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik serta serangan bersenjata baru-baru ini terhadap kemudahan nuklear awam di zon konflik.

“Buat masa ini, sekurang-kurangnya, kami tidak melihat pengaruh langsung antara insiden yang amat dikesali ini, dengan perancangan jangka sederhana dan panjang oleh kebanyakan negara dalam penggunaan tenaga nuklear secara aman.

“Terdapat trend yang amat kukuh (negara baharu memulakan program tenaga nuklear), yang didorong faktor lain berkaitan keselamatan tenaga, pertimbangan teknologi dan sebagainya,” kata Grossi.

Mengulas lanjut, van Sickle menegaskan negara yang baharu memulakan program tenaga nuklear perlu menunjukkan iltizam politik yang kukuh, komitmen nasional jangka panjang serta rangka kerja keselamatan dan kawal selia yang mantap bagi memastikan pelaksanaan tenaga nuklear secara selamat dan terjamin.

“Agensi sentiasa bersedia menyokong negara anggota, namun komitmen terhadap tenaga nuklear ialah komitmen nasional yang memerlukan pelaburan, bukan sahaja dari segi pembiayaan, tetapi juga aspek politik dan sosial,” katanya.

Beliau turut menjelaskan salah tanggapan bahawa SMR merupakan jalan pintas untuk membangunkan tenaga nuklear.

“Terdapat tanggapan bahawa SMR seolah-olah jalan pintas kepada tenaga nuklear. Namun bagi kami, ia tetap tenaga nuklear dan memerlukan pertimbangan khusus tanpa mengira saiz reaktor.

“Anda tetap memerlukan infrastruktur yang sama, rangka kerja kawal selia yang sama dan budaya keselamatan yang sama,” katanya.

Beliau berkata bagi membantu negara yang baru memulakan program nuklear, IAEA pada 2007 memperkenalkan Pendekatan Pencapaian Tiga Fasa, yang berfungsi sebagai pelan hala tuju untuk membimbing negara anggota membangunkan program nuklear yang selamat, terjamin dan mampan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan