DUNIA > BERITA

Jenama Kasut Sniker Jepun, Onitsuka Tiger Bakal Dipisahkan Daripada Syarikat Induk Asics

10/06/2026 10:17 PM

TOKYO, 10 Jun (Bernama-Kyodo) -- Gergasi pengeluar kasut Jepun, Asics Corp. mengumumkan pada Rabu rancangan untuk memisahkan jenama kasut sniker premiumnya, Onitsuka Tiger, sebagai entiti bebas susulan lonjakan populariti jenama itu dalam kalangan pelancong asing, lapor Kyodo News.

Syarikat baharu itu bakal menjadi anak syarikat milik penuh Asics di bawah nama OT Group Corp., bertujuan untuk memperkukuh daya saing jenama berkenaan, mempercepat proses membuat keputusan serta memacu pertumbuhan perniagaan.

"Kami menyasarkan untuk membina sebuah jenama yang akan terus diminati oleh pelanggan kami di seluruh dunia untuk tempoh yang lama," kata Ketua Onitsuka Tiger ketika ini, Ryoji Shoda, yang bakal menyandang jawatan Presiden OT Group dalam satu sidang media.

Nama Onitsuka Tiger diambil bersempena dengan nama keluarga pengasas Asics serta nama asal syarikat berkenaan iaitu Onitsuka. Selain reka bentuknya yang menarik, jenama itu turut mendapat pengiktirafan tinggi kerana keselesaan pemakaiannya, yang menjadi faktor utama memacu pertumbuhan jualan.

Menurut Asics, jualan Onitsuka Tiger pada 2025 mencatatkan jumlah keseluruhan 136.52 bilion yen (US$850 juta), melonjak 43 peratus berbanding tahun sebelumnya, sebahagian besarnya didorong oleh permintaan tinggi daripada pelancong asing.

Jenama berkenaan kini memiliki rangkaian kedai berskala besar di bandar-bandar utama di seluruh dunia dan dijadual membuka kedai utama terbesar globalnya di Daerah Shinjuku yang sibuk di Tokyo bulan depan.

Onitsuka Tiger juga merancang untuk menembusi semula pasaran Amerika Syarikat pada Februari 2027, selepas menutup kedai kendalian langsungnya di negara itu sebelum ini. Pada Januari lepas, sebuah kilang khusus untuk Onitsuka Tiger telah mula beroperasi di Wilayah Tottori, barat Jepun.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan