KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Sebuah mahkamah di Cyprus mengarahkan penyitaan sebuah vila mewah milik ahli perniagaan Malaysia dalam buruan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, sebagai sebahagian daripada prosiding antipengubahan wang haram, lapor CyprusMail.
Memetik kenyataan Pejabat Peguam Negara Cyprus, laporan itu menyebut Mahkamah Daerah Nicosia mengeluarkan perintah berkenaan pada Selasa susulan permohonan bersama oleh Peguam Negara Cyprus George Savvides dan pihak berkuasa antipengubahan wang haram negara itu, Mokas.
Peguam yang mewakili Low dilaporkan bersetuju dengan permohonan berkenaan.
Vila yang dianggarkan bernilai kira-kira enam juta euro (RM30.5 juta) itu terletak di bandar peranginan pesisir pantai Ayia Napa dan diperoleh menerusi program kewarganegaraan melalui pelaburan Cyprus yang kini telah dihentikan, atau lebih dikenali sebagai skim “pasport emas”.
Permohonan penyitaan itu difailkan di bawah undang-undang Cyprus berkaitan pencegahan dan pembanterasan aktiviti pengubahan wang haram dan dipercayai menjadi kes pertama sebuah mahkamah Cyprus mengarahkan penyitaan harta tanpa sabitan jenayah.
Low, yang dituduh menyeleweng kira-kira US$4.5 bilion daripada dana kekayaan negara Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), diberikan kewarganegaraan Cyprus pada 2015.
Cyprus menarik balik kewarganegaraan Low pada Jun 2024, hampir sedekad selepas beliau memperoleh pasport menerusi pelaburan hartanah di pulau itu.
Menurut laporan itu, walaupun Low dilaporkan disiasat ketika itu, beliau tidak disenaraikan secara rasmi sebagai individu dikehendaki sehingga Oktober 2016, apabila Polis Jenayah Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan notis merah terhadapnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial