Daripada Kenny Teng
PATTAYA, 11 Jun (Bernama) -- Thailand menjangkakan ketibaan pelancong Malaysia kekal berdaya tahan walaupun kos perjalanan lebih tinggi dicetuskan oleh krisis tenaga global.
Hal ini kerana ramai rakyat Malaysia membuat perjalanan ke negara itu dengan jalan darat dan bukannya melalui udara.
Timbalan Gabenor Pemasaran Antarabangsa (Asia dan Pasifik Selatan) Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT) Pattaraanong Na Chiangmai berkata kenaikan harga tenaga telah meningkatkan tambang penerbangan dan mengurangkan kekerapan penerbangan berikutan ketegangan di Asia Barat yang mengganggu pasaran tenaga global.
Bagaimanapun, beliau berkata impak perkara itu terhadap pelancong Malaysia adalah terhad kerana sebahagian besar melawat Thailand dengan laluan darat.
"Terdapat kesan ke atas harga, terutamanya tambang penerbangan, dan beberapa pengurangan penerbangan. Bagaimanapun, ini tidak menjejaskan pelancong Malaysia dengan ketara, kebanyakan mereka memilih untuk melakukan perjalanan darat dan bukannya melalui udara," katanya kepada Bernama di luar acara Thailand Travel Mart Plus (TTM+) 2026 pada Khamis.
Menurut Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, Malaysia kekal sebagai pasaran sumber kedua terbesar Thailand untuk pelawat antarabangsa.
Sehingga 8 Jun, negara itu mencatatkan 1.84 juta ketibaan Malaysia tahun ini, di belakang China dengan 2.39 juta pelawat.
Pattaraanong berkata kebimbangan mengenai kenaikan harga bahan api lebih ketara pada permulaan krisis namun permintaan perjalanan Malaysia kekal stabil.
"Kebanyakan pelancong Malaysia datang ke Thailand melalui darat terutamanya ke wilayah Selatan, jadi impaknya tidak seteruk di pasaran yang banyak bergantung pada perjalanan udara," katanya.
Walaupun ketibaan Malaysia kekal berdaya tahan, Pattaraanong mengakui tekanan ekonomi yang lebih meluas telah menjejaskan corak perjalanan di seluruh rantau ini.
Beliau berkata inflasi dan kos sara hidup yang lebih tinggi menjejaskan pasaran pelancongan di seluruh dunia, termasuk Thailand dan Malaysia, tetapi menyatakan destinasi serantau meraih manfaat apabila pelancong semakin memilih percutian jarak pendek berbanding perjalanan jarak jauh yang lebih mahal.
“Mereka yang sebelum ini mengembara ke destinasi jarak jauh mengurangkan (jarak) dan memilih destinasi yang lebih dekat dengan rumah. Thailand terus dilihat sebagai destinasi berbaloi untuk pelancong yang masih mempunyai kuasa berbelanja dan ingin bercuti," katanya.
Pattaraanong berkata peningkatan kos sara hidup telah mendorong beberapa penduduk di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia mengurangkan perjalanan hujung minggu ke Thailand.
“Daripada melancong dua kali sebulan, kini ada yang datang sebulan sekali malah dua bulan sekali. Akibatnya, secara keseluruhan jumlah pengunjung terjejas sedikit," katanya.
Thailand menyasarkan 33 juta ketibaan antarabangsa pada 2026 selepas menerima lebih 35 juta pelawat asing pada 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial