DUNIA > BERITA

Singapura Zahir Ucapan Takziah Kepada Thailand Atas Pemergian Puteri Bajrakitiyabha

13/06/2026 05:28 PM

SINGAPURA, 13 Jun (Bernama) -- Kerajaan Singapura menzahirkan ucapan takziah kepada Thailand susulan pemergian Puteri Bajrakitiyabha Narendira Debyavati, anakanda sulung Raja Maha Vajiralongkorn.

Kementerian Luar (MFA) Singapura memaklumkan bahawa Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam menyampaikan ucapan takziah yang amat mendalam menerusi surat kepada Raja Thailand itu.

Selain itu, Perdana Menteri Lawrence Wong serta Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan turut menyampaikan ucapan takziah kepada rakan sejawat masing-masing.

Dalam surat itu, Tharman menyifatkan Puteri Bajrakitiyabha sebagai seorang tokoh yang terkenal dengan semangat keadilan yang tinggi.

“Sokongan teguh Puteri Bajrakitiyabha terhadap Persatuan Palang Merah Thailand dan Yayasan Kanak-Kanak di Hospital Phramongkutklao menjadi sumber bantuan penting kepada mereka yang memerlukan.

“Usaha tanpa jemu puteri dalam memperjuangkan hak wanita, khususnya berkaitan layanan terhadap wanita dalam sistem keadilan jenayah, turut mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MFA pada Sabtu.

Pada Jumaat, Biro Istana Diraja Thailand mengumumkan bahawa Puteri Bajrakitiyabha meninggal dunia dengan tenang di Hospital Chulalongkorn pada 7.48 malam Khamis ketika menerima rawatan. Puteri Bajrakitiyabha berusia 47 tahun.

Puteri Bajrakitiyabha menerima rawatan di Hospital Memorial Raja Chulalongkorn sejak Disember 2022 selepas rebah akibat masalah berkaitan jantung ketika melatih anjing peliharaannya di daerah Pak Chong, wilayah Nakhon Ratchasima.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan