DUNIA > BERITA

Visa AS Pemain Bola Sepak Iran Tamat Tempoh Selepas Penampilan Pertama Piala Dunia

17/06/2026 01:18 AM

ISTANBUL, 16 Jun (Bernama-Anadolu) -- Visa Amerika Syarikat (AS) milik pemain bola sepak Iran, Mehdi Torabi, telah tamat tempoh selepas perlawanan pembukaan pasukan kebangsaan itu dalam saingan Piala Dunia, sekali gus menyaksikan pemain tengah berkenaan kini terpaksa menunggu permit baharu untuk menyertai semula skuad negaranya di AS, lapor  Anadolu Ajansi yang memetik badan bola sepak Iran pada Selasa.

Menurut Persekutuan Bola Sepak Iran, visa yang dikeluarkan kepada ahli pasukan kebangsaan Iran secara umumnya adalah sah untuk kemasukan berganda, namun visa Torabi hanya dikeluarkan untuk kemasukan tunggal.

Persekutuan itu memaklumkan bahawa Torabi telah melakukan perjalanan bersama-sama pasukan ke Los Angeles bagi perlawanan pembukaan Iran menentang New Zealand. Bagaimanapun, selepas meninggalkan AS sebaik sahaja perlawanan itu selesai, visa beliau telah tamat tempoh.

Pihak berkuasa bola sepak Iran telah memulakan usaha mendapatkan visa baharu bagi pemain itu supaya beliau dapat menyertai semula pasukan kebangsaan bagi menghadapi perlawanan Piala Dunia yang akan datang.

Tiada sebarang tempoh masa diberikan setakat ini berhubung pengeluaran visa baharu berkenaan.

Perlawanan pembukaan Iran menentang New Zealand berakhir dengan keputusan seri 2-2.

-- BERNAMA-ANADOLU


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan