DUNIA > BERITA

Indonesia Gesa ASEAN Bangunkan Rangka Kerja Tadbir Urus AI Bersama

18/06/2026 11:00 AM

JAKARTA, 18 Jun (Bernama) -- Indonesia menggesa negara-negara ASEAN membangunkan rangka kerja bagi tadbir urus kecerdasan buatan (AI) untuk mengurus secara kolektif peluang dan cabaran yang timbul daripada teknologi itu.

Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital Indonesia Meutya Hafid berkata AI berpotensi mempercepat pertumbuhan ekonomi, meningkatkan produktiviti dan memperkukuh daya saing, namun boleh menimbulkan risiko besar sekiranya tidak dikawal selia dengan sewajarnya.

"Risiko ini bukan hanya kepada Indonesia tetapi kepada seluruh rantau. Jika akses tidak sama rata, AI akan melebarkan jurang antara mereka yang mempunyai akses dan mereka yang tidak, sama ada dalam negara mahupun antara negara," katanya seperti dipetik oleh Agensi Berita Antara.

Meutya, yang berucap pada Sidang Kemuncak Ekonomi Asia 2026, berkata akses yang tidak seimbang kepada teknologi AI boleh memperdalam jurang sedia ada di seluruh Asia Tenggara, sekali gus menekankan keperluan agar negara anggota ASEAN bekerjasama membangunkan rangka kerja tadbir urus bersama bagi teknologi itu.

Beliau memberi amaran bahawa apabila AI menjadi semakin maju, data akan menjadi semakin bernilai dan pada masa sama lebih terdedah kepada jenayah siber, sambil menegaskan kepentingan mengekalkan kawalan terhadap data serta memastikan model AI memahami bahasa dan nilai tempatan.

Menurut beliau, kerajaan tidak seharusnya memperlahankan pembangunan AI, sebaliknya perlu bertindak secara strategik dengan membangunkan rangka kerja tadbir urus secara bersama serta mengubah potensi risiko menjadi kekuatan kolektif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan