KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran bahawa negara membangun mungkin akan mencari rakan alternatif sekiranya negara Eropah terus melayan mereka secara tidak adil, dengan merujuk kepada pertikaian berkaitan kontrak pertahanan yang melibatkan Norway.
Beliau berkata Malaysia telah membayar 95 peratus daripada nilai kontrak berkenaan, namun tidak diberikan penjelasan yang memuaskan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk mendapatkan penjelasan.
Anwar berkata insiden itu akan mempengaruhi keputusan Malaysia pada masa hadapan.
“Jika beginilah cara negara Eropah melayan kami, sedangkan negara lain pula memilih untuk berdiam diri, maka kami terpaksa mencari alternatif dan tidak lagi berurusan dengan mereka,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama rangkaian televisyen Rusia, RT.
Kerajaan Norway dilaporkan telah membatalkan lesen eksport bagi sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) pada Mac lalu, hanya beberapa hari sebelum penghantaran dijadualkan, susulan kawalan eksport yang lebih ketat terhadap teknologi ketenteraan sensitif.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 2 Jun berkata keputusan unilateral itu menyebabkan Malaysia menanggung kerugian langsung melebihi RM600 juta bagi perolehan peluru berpandu berkenaan, manakala kos tidak langsung boleh melebihi RM1 bilion.
Anwar berkata pada peringkat awal Malaysia mengesyaki isu itu mungkin berkaitan dengan NATO dan bantuan daripada Amerika Syarikat (AS).
“Pada mulanya, kami mengesyaki ia mungkin disebabkan NATO dan bantuan daripada AS.
“Namun negara NATO lain seperti Jerman, Perancis dan Itali menegaskan bahawa mereka masih komited meneruskan kerjasama serta urusan dengan Malaysia,” katanya.
Anwar berkata perkara itu melibatkan perjanjian yang telah dimeterai dan Malaysia telah membayar 95 peratus daripada nilai kontrak tersebut.
“Tetapi dalam kes ini, perjanjian telah ditandatangani. Kami telah membayar 95 peratus, namun apa yang berlaku ini langsung tidak masuk akal.
“Bagi saya, ia tidak boleh diterima. Amat menyedihkan apabila sebuah negara seperti Norway, yang mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Malaysia sebelum ini, membuat keputusan sedemikian tanpa sebarang penjelasan,” katanya.
Beliau berkata beliau telah bercakap dengan Perdana Menteri Norway yang memohon maaf, namun memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat atas faktor keselamatan.
Anwar berkata Malaysia turut menghantar wakil ke AS untuk mendapatkan penjelasan mengenai pendirian negara itu dan telah diberi jaminan bahawa Washington tidak terlibat.
“Jadi, mereka melayan kita seolah-olah kita sebuah negara yang tidak mempunyai maruah atau kedudukan. Ia menunjukkan kejahilan yang ketara dan jelas mencerminkan sikap angkuh mereka.
“Kami telah mengemukakan bantahan keras dan perkara ini tidak akan berakhir begitu sahaja,” katanya.
Membandingkan insiden itu dengan urusan Malaysia bersama Rusia, Anwar berkata Moscow tetap menunaikan segala komitmennya meskipun berdepan cabaran akibat sekatan dan kekangan terhadap sistem pembayaran.
“Terdapat dua perkara mengenai Rusia. Pertama, mereka telah menunaikan semua komitmen walau sesukar mana sekali pun, termasuk ketika berdepan tempoh yang amat mencabar dari segi sistem dan prosedur pembayaran akibat sekatan yang dikenakan.
“Kami tidak menemui sebarang kes pelanggaran komitmen. Itu adalah fakta, bertentangan dengan propaganda besar-besaran Barat terhadap Rusia. Saya tidak berkongsi pandangan tersebut,” katanya.
Anwar berkata terdapat potensi besar untuk kerjasama dengan Rusia yang semakin berkembang tetapi masih belum diterokai sepenuhnya.
Beliau berkata rakan perdagangan dan pelaburan utama Malaysia masih AS, manakala hubungan perdagangan dan pelaburan dengan China pula mencatat pertumbuhan yang amat memberangsangkan.
“Daripada teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber hinggalah pertanian moden, semuanya merupakan bidang yang perlu kita terokai,” katanya.
Anwar berkata beliau amat menghargai Presiden Rusia Vladimir Putin yang telah memberikan pandangan yang sangat menyokong dalam perkara itu.
“Dan kini kami telah menubuhkan pasukan yang bukan sahaja bertujuan memudah cara, malah mempercepatkan proses tersebut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial