DUNIA > BERITA

China Bakal Lancar Program "NEV Ke Luar Bandar 2026"

19/06/2026 04:43 PM

BEIJING, 19 Jun (Bernama-CMG) -- China akan melancarkan program "Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) ke Luar Bandar 2026" dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Khamis oleh lima kementerian dan agensi China, termasuk Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat serta Kementerian Perdagangan, program tahun ini bertemakan "Hijau, Rendah Karbon, Pintar dan Selamat - Memberi Manfaat kepada Jutaan Keluarga di Luar Bandar".

Menurut kenyataan itu, model NEV yang dipilih akan memberi tumpuan kepada keperluan pengguna di kawasan luar bandar, dengan penekanan terhadap kualiti, kebolehpercayaan dan reputasi pasaran yang baik.

Kerajaan juga akan terus melaksanakan insentif, termasuk pengecualian cukai pembelian dan penggunaan kenderaan, selain mempercepat pembinaan serta penaiktarafan kemudahan pengecasan dan penukaran bateri di kawasan luar bandar.

Selain itu, program "NEV ke Luar Bandar 2026" ini juga akan mempromosikan program penggantian kenderaan lama menerusi penyediaan zon khas bagi urusan tukar beli kenderaan.

Penduduk luar bandar yang ingin beralih kepada NEV boleh memohon subsidi tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.

Sejak diperkenalkan pada 2020, program "NEV ke Luar Bandar" telah berkembang secara berterusan.

Sehingga akhir 2025, sebanyak 10 kumpulan katalog telah diperkenalkan melibatkan lebih 500 model NEV dari pelbagai pengeluar.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan