DUNIA > BERITA

Jurulatih Iran Persoal Sekatan Perjalanan Piala Dunia Meskipun Diberi Kelonggaran Ke Seattle

21/06/2026 09:45 PM

LOS ANGELES, 21 Jun (Bernama-Xinhua) -- Jurulatih Iran Amir Ghalenoei pada Sabtu berkata beliau dimaklumkan pasukannya akan diberikan lebih fleksibiliti perjalanan menjelang perlawanan terakhir Kumpulan G pada Piala Dunia FIFA, lapor Xinhua.

Iran akan menentang Belgium dalam perlawanan kedua kumpulan pada Ahad sebelum berdepan Mesir di Seattle pada Jumaat depan.

Iran memulakan kempen mereka dengan keputusan seri 2-2 menentang New Zealand pada 15 Jun lepas.

Pasukan itu berpangkalan di Mexico sepanjang kejohanan dan setakat ini dikehendaki melakukan perjalanan ke Amerika Syarikat (AS) sehari sebelum setiap perlawanan sebelum kembali ke Mexico pada lewat hari perlawanan.

Ketika bercakap pada sidang media praperlawanan, Ghalenoei berkata penganjur memaklumkan bahawa pengaturan berbeza akan dibenarkan bagi perlawanan di Seattle.

"Mereka berkata di Seattle, anda boleh melakukan apa yang anda mahu, bertindak mengikut cara yang anda mahu dan datang lebih awal," katanya.

"Tetapi persoalan saya, mengapa mereka tidak membenarkan kami datang lebih awal bagi dua perlawanan pertama juga?"

Ghalenoei berkata perjalanan berulang kali itu telah memberi kesan kepada skuadnya.

"Saya fikir kerana kami terlalu kerap menaiki penerbangan dan berulang-alik, kami menjadi letih akibat perjalanan yang panjang ini," katanya.

"Keadaan itu akan menjejaskan kami dari segi mental, khususnya saya sebagai ketua jurulatih, kerana saya mahu memberi tumpuan kepada aspek teknikal."

Kumpulan G kekal seimbang selepas Belgium seri 1-1 dengan Mesir pada pusingan pembukaan. Keempat-empat pasukan dalam kumpulan itu mengumpul satu mata selepas mengharungi satu perlawanan.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan