Oleh Anas Hassan
SINGAPURA, 22 Jun (Bernama) -- Tahap keterlibatan tenaga kerja Singapura berada di bawah penanda aras serantau dan global, dengan hanya 14 peratus pekerja dilaporkan terlibat di tempat kerja, menurut satu kajian oleh Institut Pengarah Singapura (SID) dan Gallup.
Laporan sulung bertajuk "Singapore Workplace Report 2026: Powering Singapore's Future" yang dikeluarkan pada Isnin menunjukkan bahawa tahap keterlibatan tenaga kerja di Singapura jauh lebih rendah berbanding purata Asia Tenggara sebanyak 25 peratus dan purata global sebanyak 20 peratus.
Laporan itu menyatakan pekerja Singapura berusia di bawah 35 tahun mencatat kadar keterlibatan sebanyak hanya 10 peratus, berbanding 16 peratus dalam kalangan mereka yang berumur 35 tahun dan ke atas, iaitu jurang enam mata peratusan yang hampir tiga kali ganda lebih besar berbanding jurang global sebanyak dua mata peratusan.
Sebagai perbandingan, tahap keterlibatan pekerja dalam kalangan negara serantau adalah lebih tinggi, dengan Filipina mencatat 39 peratus, diikuti Thailand (34 peratus), Indonesia (27 peratus) dan Malaysia (25 peratus).
"Pada 2025, sebanyak 86 peratus tenaga kerja Singapura tidak terlibat dalam pekerjaan mereka, menyebabkan ekonomi negara menanggung kerugian produktiviti yang dianggarkan berjumlah US$73.6 bilion (US$1=RM4.13) setahun.
"Dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka perlahan kepada 2.0 hingga 4.0 peratus pada 2026, laporan itu berpendapat bahawa tahap keterlibatan yang rendah bukan lagi sekadar isu budaya, sebaliknya telah menjadi liabiliti strategik," menurut SID dalam satu kenyataan.
Menurut laporan itu, tahap tekanan dalam kalangan rakyat Singapura yang lebih muda juga meningkat dengan ketara, dengan 53 peratus melaporkan mengalami tekanan setiap hari berbanding 37 peratus dalam kalangan rakan sekerja mereka yang lebih berusia.
Sementara itu, Pengerusi SID Yeoh Oon Jin menekankan bahawa syarikat perlu memainkan peranan aktif dalam memupuk budaya tempat kerja yang sesuai dengan keperluan masa depan.
"Keterlibatan tenaga kerja, budaya organisasi dan keupayaan kepimpinan merupakan keutamaan strategik yang berkait secara langsung dengan produktiviti, inovasi, daya tahan dan pertumbuhan mampan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial