DUNIA > BERITA

Colombia Komited Perkukuh Hubungan Kebudayaan Dengan Malaysia

24/06/2026 10:02 AM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Colombia komited untuk memperkukuh hubungan kebudayaannya dengan Malaysia, khususnya dalam bidang gastronomi, kata Kuasa Usaha Kedutaan Colombia di Malaysia, Juan Carlos Moreno Gutierrez.

Beliau berkata sudah tiba masanya untuk Colombia meningkatkan aktiviti kebudayaannya di Malaysia, sebagai persediaan menjelang ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara pada tahun depan.

Menurut Moreno Gutierrez, walaupun hubungan dua hala antara Colombia dan Malaysia bakal mencecah usia empat dekad tahun hadapan, kedua-dua negara berkongsi banyak persamaan yang masih belum diketahui secara meluas, terutamanya oleh rakyat Malaysia.

“Colombia dan Malaysia berkongsi persamaan memandangkan kedua-duanya merupakan negara tropika dan mempunyai banyak makanan yang pedas. Namun setakat ini, hanya kopi Colombia yang popular di Malaysia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada acara “A Night in Colombia” di sini baru-baru ini.

Kedutaan Colombia di Malaysia dibuka pada 1997, manakala Colombia dan Malaysia secara rasmi menjalinkan hubungan diplomatik pada 19 Ogos 1987.

Semasa acara berkenaan, cef kelahiran Bogota, Fernando Arevalo, yang juga pemilik restoran Colombia tersenarai dalam Panduan Michelin, Latido di Singapura, dibawa ke Malaysia untuk menampilkan masakan Colombia menerusi hidangan yang disediakan khas buat para tetamu.

Antara menu yang disajikan termasuk “Pan De La Casa” (roti buatan sendiri oleh cef Arevalo), “Sopa de Langosta” (sup udang kara bersama “caper”, kentang dan avokado) serta “Costilla A La Parrilla” (tulang rusuk pendek lembu panggang, cendawan shimeji, gandum kuda dan salad panggang).

Menurut Moreno Gutierrez, Colombia dan Malaysia saling mengadakan lawatan pertukaran pada tahun ini, dengan 11 datuk bandar dari Colombia melawat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada April lepas bagi memperkukuh kerjasama dan rangkaian kerja.

Bulan lepas, Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) turut menyertai Interzum, iaitu pameran perdagangan perabot dan pemprosesan kayu yang diadakan di Bogota.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan