BEIJING, 24 Jun (Bernama-CMG) -- Usaha berterusan perlu dipergiat bagi memperdalam kerjasama ekonomi dan perdagangan dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang berteraskan pembinaan bersama dan manfaat bersama.
Menurut para tetamu yang menghadiri Forum Perdagangan dan Pelaburan Jalur dan Laluan 2026 pada petang Selasa, langkah itu termasuk meneroka potensi kerjasama dalam bidang pembangunan hijau, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital, selain meningkatkan keserasian bagi membuahkan hasil yang produktif.
Pada forum itu, wakil persatuan perniagaan dari China, Malaysia, Laos, Britain dan Thailand menyatakan bahawa landskap pembinaan bersama BRI telah menjadi platform kerjasama ekonomi antarabangsa yang paling berprestij dengan skala terbesar serta jangkauan paling luas di dunia.
Dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan barangan antara China dengan negara-negara yang terlibat dalam pembinaan bersama di bawah BRI meningkat 13.5 peratus tahun ke tahun kepada RMB8.28 trilion (RM5.04 trilion), mewakili 51 peratus daripada keseluruhan perdagangan China.
Pengerusi Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT), Ren Hongbin berkata pelaksanaan BRI oleh China menunjukkan komitmen negara itu untuk merancakkan landskap kesalinghubungan dan pembangunan bersama di peringkat dunia.
Langkah itu juga katanya dapat menggalakkan kelancaran aliran elemen-elemen ekonomi, meningkatkan kecekapan pengagihan sumber, mengeratkan hubungan antara pasaran yang pelbagai, serta melonjakkan kedudukan negara-negara terlibat dalam rantaian industri, rantaian bekalan dan rantaian nilai global.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial