DUNIA > BERITA

Teknologi Pintar Tempatan Pacu Peralihan Tenaga Bersih China  

24/06/2026 04:39 PM

Daripada Siti Zanariah Nor Zin

BEIJING (China), 24 Jun (Bernama) -- China kini giat memanfaatkan teknologi pintar buatan tempatan untuk mempercepat peralihan kepada tenaga bersih dan mengukuhkan kecekapan, kebolehpercayaan dan keselamatan jangka panjang sektor kuasanya.

Wartawan Bernama, yang mengambil bahagian dalam program persahabatan wartawan antarabangsa di sini, berpeluang menyaksikan integrasi kecerdasan buatan (AI), robotik serta teknologi digital dalam pembangunan dan pengurusan tenaga bersih di kemudahan dikendalikan oleh China Datang Corporation Ltd, antara perusahaan tenaga besar milik negara itu. 

Di tengah-tengah usaha ini ialah Pejabat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Gaojing, Institut Penyelidikan Umum Sains dan Teknologi China Datang, yang telah memainkan peranan penting dalam membangunkan teknologi untuk meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan sistem tenaga boleh diperbaharui.

Antara inovasi itu ialah sistem kawalan turbin angin "Zhuoxi" yang dibangunkan sendiri, platform ramalan berkuasa AI yang menyepadukan data daripada ladang angin dan solar untuk meningkatkan ramalan keluaran tenaga boleh diperbaharui, dan teknologi simulasi digital yang digunakan untuk mengoptimumkan projek tenaga bersih berskala besar.

Pegawai syarikat itu juga menunjukkan alat pemeriksaan pintar yang direka untuk mengurangkan risiko dalam persekitaran kerja berisiko tinggi, termasuk robot dalam air, robot anjing berkaki empat, dron pemeriksaan automatik dan "Zhijian No.1", robot panjat dinding pertama China yang dibangunkan untuk pemeriksaan kimpalan turbin angin.

"Teknologi ini membantu menggantikan pemeriksaan manual di lokasi berbahaya sambil meningkatkan kecekapan penyelenggaraan dan keselamatan tempat kerja," katanya kepada delegasi pelawat pada Selasa.

Beliau berkata menjelang akhir 2025, jumlah kapasiti penjanaan kuasa terpasang China Datang mencapai 214 gigawatt (GW), dengan tenaga bersih menyumbang 51.21 peratus daripada jumlah itu.

Lawatan itu juga menyerlahkan usaha membangunkan bakat mahir untuk sektor tenaga menerusi Pusat Kecemerlangan Latihan Jurutera peringkat kebangsaan, yang telah melatih 350 pelajar sarjana kejuruteraan dan kedoktoran dengan kerjasama universiti terkemuka sejak empat tahun lepas.

Delegasi turut melawat Loji Kuasa Terma Gas Gaojing Antarabangsa Datang, kemudahan utama yang menyokong bekalan elektrik Beijing dan perkhidmatan pemanasan musim sejuk.

Loji itu menggunakan teknologi penjanaan kuasa kitaran gabungan wap gas dan sistem air kitar semula gelung tertutup, membolehkan ia beroperasi dengan penggunaan tenaga dan pelepasan yang lebih rendah berbanding loji jana kuasa arang batu konvensional.

Beliau berkata China Datang kini membekalkan kira-kira 50 peratus tenaga elektrik Beijing, dengan tenaga hijau menyumbang sekitar 11 peratus daripada jumlah bekalan kuasa ibu negara itu.

Wartawan turut dibawa melihat Pusat Pemanasan Sifar Karbon loji berkenaan, projek pemulihan haba sisa yang menggunakan teknologi pertukaran haba suhu rendah dan pam haba sisa besar untuk mengumpul haba daripada gas serombong bagi pemanasan bandar.

Menurut syarikat itu, projek tersebut membekalkan kapasiti pemanasan bersih tambahan sebanyak 1.59 juta gigajoule setiap tahun, menjimatkan 47.39 juta meter padu gas asli dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida sebanyak kira-kira 85,000 tan setiap tahun.

China Datang berkata pihaknya akan terus mengembangkan kapasiti tenaga bersihnya dan memajukan pembangunan industri penyimpanan tenaga dan hidrogen sebagai sebahagian usaha menyokong peralihan hijau China dan matlamat keselamatan tenaga.

-- BERNAMA

 

 

(Penulis ialah wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan wakil media tunggal Malaysia yang dipilih untuk menyertai program persahabatan Pusat Komunikasi Media Antarabangsa China (CIPCC) selama tiga bulan anjuran Persatuan Diplomasi Awam China.)

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan