DUNIA > BERITA

Gelombang Haba: Beberapa Individu Lemas Ketika Cuba Menyejukkan Badan Di Jerman

28/06/2026 05:27 PM

BERLIN, 28 Jun (Bernama-dpa) -- Sekurang-kurangnya lima orang maut dalam insiden lemas di Jerman sejak Jumaat, ketika gelombang haba mendorong orang ramai mengunjungi tasik dan sungai untuk menyejukkan badan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Menurut pihak polis, seorang lelaki berusia 27 tahun lemas di Sungai Neckar berhampiran Bandar raya Heidelberg di barat daya negara itu pada Sabtu, manakala seorang lagi lelaki berusia 30 tahun meninggal dunia di sebuah tasik berhampiran Mannheim.

Dalam pada itu, seorang kanak-kanak turut dilaporkan hilang di Terusan Rhine-Herne yang terletak di barat Jerman.

Sementara itu di Wilayah Hesse, mayat seorang lelaki berusia 40 tahun berjaya ditemukan dan dibawa keluar dari sebuah tasik berhampiran Frankfurt.

Pada Jumaat, seorang lelaki berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia selepas diselamatkan dari sebuah tasik berhampiran Dortmund, manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemukan mati selepas operasi mencari dilancarkan di sebuah tasik berhampiran Hanover.

Selain itu, mayat dua perenang warga emas turut ditemukan di Tasik Constance yang terletak di sempadan Jerman dengan Switzerland dan Austria pada Jumaat. Kedua-dua mangsa dilaporkan hilang sehari sebelumnya selepas terjun ke dalam tasik berkenaan dari sebuah bot sewa.

Jerman kini sedang berdepan dengan cuaca panas melampau sejak beberapa hari lepas, dengan suhu mencecah atau melebihi 40 darjah Celsius di kebanyakan kawasan.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan