DUNIA > BERITA

Kuwait Pintas Dua Peluru Berpandu Balistik Dilancarkan "Musuh"

28/06/2026 07:35 PM

ISTANBUL, 28 Jun (Bernama-Anadolu) -- Tentera Kuwait mengumumkan pada awal pagi Ahad bahawa angkatan tenteranya memintas dan menangani dua peluru berpandu balistik "musuh", lapor Anadolu Ajansi.

Insiden itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kerosakan atau kemalangan jiwa, menurut tentera dalam satu kenyataan di platform X dengan memetik jurucakap Kementerian Pertahanan Kolonel Saud Abdulaziz Al-Otaibi.

Angkatan tentera Kuwait "terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan cekap dan berkesan", menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) memaklumkan yang pihaknya melancarkan serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan lapan lokasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Kuwait dan Bahrain sebagai tindak balas terhadap serangan terbaharu AS ke atas kedudukan Iran.

Kementerian Luar Kuwait turut menyuarakan "kecaman sekeras-kerasnya terhadap pencerobohan kejam berulang kali oleh Iran" di wilayahnya, sambil menyifatkan serangan itu sebagai "pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatannya."

Serangan itu juga menjejaskan usaha untuk meredakan ketegangan di Asia Barat, menurut kementerian itu, yang turut menegaskan "hak penuh" Kuwait untuk mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi kedaulatannya.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan