DUNIA > BERITA

Rantau Mekong Berwaspada Tangani Jerebu Rentas Sempadan Susulan Peningkatan Suhu Kota

29/06/2026 04:32 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 29 Jun (Bernama) -- Susulan peningkatan suhu yang mendadak dan ancaman fenomena El Nino yang meningkatkan risiko kebakaran hutan serta tanah gambut secara meluas di seluruh rantau Mekong,  kerajaan-kerajaan terlibat kini mempertingkat kerjasama merentas sempadan bagi mengelak berulangnya isu jerebu rentas sempadan.

Peningkatan suhu di kawasan bandar - dari Bangkok hingga ke Ho Chi Minh City - mendorong penggubal dasar untuk melaksanakan langkah-langkah segera, memandangkan jerebu yang merentas sempadan mendatangkan risiko yang semakin besar terhadap sektor pertanian, kesihatan awam dan ekonomi serantau.

“Kebakaran hutan dan pencemaran udara rentas sempadan telah menjadi ancaman utama di seluruh subrantau ini.

Ia telah menyebabkan kemusnahan biodiversiti, menjejaskan kesihatan awam secara negatif dan mengakibatkan kerugian ekonomi yang besar di seluruh Subrantau 'Greater Mekong',” Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone memberi amaran seperti yang dilaporkan oleh akhbar Vientiane Times hari ini.

Kebimbangan mengenai pencemaran udara itu dibangkitkan semasa Mesyuarat Ke-14 Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Subrantau mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan di Subrantau Mekong yang berlangsung di Viantiane, Laos pada 25 Jun lepas.

Peningkatan bilangan titik panas kini membimbangkan kerajaan di rantau ini. Dari Disember 2025 hingga Mei 2026, jumlah titik panas meningkat sekitar lapan peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, menurut kenyataan mesyuarat berkenaan yang disiarkan di laman sesawang Sekretariat ASEAN.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, bandar-bandar utama di seluruh rantau itu terpaksa berhadapan dengan cuaca panas yang melampau walaupun musim monsun telah bermula di rantau Mekong, dengan taburan hujan yang tidak menentu dan terhad di beberapa kawasan.

Menurut pakar kaji cuaca, Ho Chi Minh City kini mengalami gelombang haba yang sangat terik walaupun dalam musim hujan, manakala Bangkok pula berhadapan dengan cuaca panas yang meruncing - semuanya disebabkan oleh kesan perubahan iklim dan corak El Nino.

Sementara itu, Kementerian Pertanian dan Alam Sekitar Laos telah memberi amaran tentang kemungkinan kesan daripada fenomena El Nino semasa musim hujan ini.

Agensi Berita Laos melaporkan pihak berkuasa meramalkan suhu di sesetengah kawasan boleh meningkat antara 35 hingga 38 darjah Celsius, disertai hujan yang tidak menentu, tempoh kering yang berpanjangan dan penurunan paras air di wilayah-wilayah tertentu.

Keadaan ini boleh meningkatkan risiko kemarau, kekurangan bekalan air, kebakaran hutan, serta kerosakan kepada sektor pertanian dan penternakan.

Semasa mesyuarat di Vientiane itu, negara-negara anggota ASEAN berikrar untuk mengurangkan titik panas kebakaran dan mengawal pencemaran jerebu merentas sempadan di Subrantau Mekong semasa musim kering.

Pakar kaji cuaca turut memberi bayangan mengenai kemungkinan berlakunya fenomena "Super El Nino" pada tahun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan