ISTANBUL, 10 Julai (Bernama-Anadolu) -- Sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam kebakaran hutan yang berlaku pada Khamis di perbandaran Los Gallardos, wilayah Almeria di wilayah Andalusia, selatan Sepanyol, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik penyiar RTVE.
Menurut perkhidmatan kecemasan Andalusia, mangsa ditemukan di sebuah perkampungan kecil di perbandaran Bedar, dengan beberapa mangsa ditemukan di dalam kenderaan yang terbakar.
Pemangku Menteri Kesihatan, Kepresidenan dan Kecemasan Andalusia, Antonio Sanz, menyifatkan kebakaran itu sebagai "kebakaran yang mengakibatkan kesan paling buruk setakat ini" di wilayah berkenaan serta menggelarnya sebagai "tragedi yang belum pernah berlaku sebelum ini."
Pihak berkuasa meningkatkan Pelan Tindak Balas Kebakaran Hutan wilayah itu ke fasa kecemasan ketika kebakaran terus merebak, manakala Unit Kecemasan Tentera (UME) Sepanyol mengerahkan 150 anggota bagi memperkukuh operasi pemadaman kebakaran.
Kebakaran serta kepulan asap tebal turut menyebabkan dua jalan utama di wilayah itu ditutup.
Dalam perkembangan berasingan, kira-kira 1,000 penduduk dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga susulan satu lagi kebakaran hutan yang berlaku pada petang Khamis di wilayah Malaga, selatan negara itu.
Kebakaran itu masih aktif, dengan hampir 180 anggota terus berusaha mengawal kebakaran daripada terus merebak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial