EKONOMI > BERITA

TOYO VENTURES PEROLEH KEMUDAHAN PEMBIAYAAN PERALATAN SEBANYAK US$980 JUTA

07/06/2024 07:50 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Unit milik penuh Toyo Ventures Holdings Bhd (TVHB), Song Hau 2 Power Company Ltd (SH2P) memperoleh kemudahan pembiayaan peralatan bernilai US$980 juta daripada i-Power Solutions Pte Ltd.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata pembiayaan berkenaan adalah untuk pembinaan loji kuasa terma  2.12 gigawatt (GW) di Wilayah Hau Giang, selatan Vietnam yang melibatkan cadangan kemudahan pembiayaan projek sehingga US$2.69 bilion.

TVHB berkata tujuan kemudahan itu adalah untuk membiayai sehingga 70 peratus daripada jumlah invois bagi perolehan peralatan yang diperlukan untuk kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek itu.

"Objektif utama kemudahan itu adalah untuk menyediakan sokongan kewangan bagi pemerolehan peralatan penting yang diperlukan untuk menjayakan pelaksanaan aktiviti EPCC dalam rangka kerja projek berkenaan," katanya.

Kemudahan pembiayaan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham terbitan syarikat serta pegangan saham pemegang saham utamanya, dan akan menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat.

“Nisbah hutang kepada ekuiti TVHB berdasarkan penyata kewangan kumpulan yang telah diaudit pada 30 Sept 2023 ialah tujuh kali, selepas penerimaan dan penggunaan kemudahan pembiayaan peralatan itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan