EKONOMI > BERITA

PRESTASI PENCAPAIAN PROJEK, PROGRAM DIRANCANG ECERDC BAGI RMK9, RMK12 MELEBIHI 90 PERATUS

04/07/2024 02:39 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Prestasi pencapaian projek dan program yang dirancang oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) telah melebihi 90 peratus.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/24, sebanyak 99 (90.8 peratus) daripada 109 projek dan program telah dilaksanakan dengan 77 projek telah disiapkan manakala 22 projek dan program masih dalam pelaksanaan dengan tiga dalam peringkat perancangan, 11 di peringkat reka bentuk dan lapan di peringkat pembinaan.

Bagaimanapun, sasaran prestasi melibatkan pelaburan direalisasi, peluang pekerjaan dan jumlah usahawan seperti dinyatakan dalam Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) (EMP 1.0)  tidak tercapai manakala pencapaian sebenar bagi Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) masih belum boleh dinilai kerana tempoh pelaksanaannya bermula pada tahun 2018 hingga 2025, kata LKAN.

“Bagaimanapun, ECERDC tidak mencapai sasaran bagi pelaburan direalisasi (untuk EMP 1.0) iaitu (yang tercapai iaitu RM53.875 bilion), menawarkan peluang pekerjaan sebanyak 133,873 pekerjaan dan (melahirkan) bilangan usahawan seramai 29,275 usahawan berbanding sasaran sebenar yang ditetapkan masing-masing RM66 bilion pelaburan untuk direalisasi, 200,000 peluang pekerjaan dan 60,000 usahawan,” tambah laporan itu.

Sungguhpun begitu, ECER menerima pelaburan komited sebanyak RM111.562 bilion berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu RM110 bilion di bawah EMP 1.0.

Selain itu, pihak audit mendapati tiada pangkalan data diwujudkan bagi mengukur pencapaian sosioekonomi kumpulan sasar dalam Wilayah ECER, justeru pencapaian objektif bagi projek dan program yang dilaksanakan tidak dapat diukur selain ECERDC tiada kaedah pengukuran yang tepat bagi mengenal pasti kadar kemiskinan dan pendapatan penduduk di negeri-negeri Pantai Timur.

Justeru, pihak Audit mengesyorkan Kementerian Ekonomi, ECERDC dan pihak berkaitan untuk mengkaji semula objektif, fungsi dan peranan ECERDC dalam memastikan projek dan program yang dirancang dan dilaksanakan dengan mengambil kira keutamaan, keadaan dan keperluan semasa agar dapat dimanfaatkan oleh kumpulan sasar, mencapai objektif yang berkesan dan tidak menjejaskan pulangan kepada kerajaan.

LKAN turut mencadangkan kaedah pengukuran dan mewujudkan pangkalan data pencapaian sosiekonomi kumpulan sasar bagi mengenalpasti kadar kemiskinan dan pendapatan penduduk di wilayah ECER bagi memastikan objektif penubuhan ECERDC tercapai.

Sesi libat urus dengan semua pihak yang terlibat juga perlu diadakan dalam merangka strategi dan mempergiatkan lagi aktiviti promosi bagi menarik pelabur di plot-plot perindustrian dan syarikat induk bagi projek agropolitan.

Pengauditan LKAN tertumpu kepada projek dan program yang dilaksanakan di Wilayah ECER berdasarkan (RMK9) hingga RMK12 serta Pelan Induk ECER (EMP) yang bermula pada 2008 sehingga 31 Disember 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan