EKONOMI > BERITA

BHP TUMPU NILAI, REKA BENTUK MAMPAN SUNTIK POTENSI PELABURAN HARTANAH

04/07/2024 03:54 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Bangsar Heights Pavilion (BHP) menyasarkan untuk mengubah landskap pelaburan hartanah Malaysia dengan menumpukan pembentukan nilai jangka panjang, libat urus komuniti serta reka bentuk mampan.

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif BHP Aaron Yap berkata pasaran hartanah Malaysia memaparkan peluang menarik namun pada masa sama pelabur perlu menyesuaikan diri dengan landskap yang sentiasa berubah.

“Pelabur arif kini mencari pulangan melebihi pulangan segera dan mengutamakan faktor seperti nilai jangka panjang, kecekapan pengurusan hartanah selain kehidupan holistik atau pengalaman kerja," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi memenuhi perubahan permintaanu ini, Yap berkata BHP telah mempelopori strategi Pengurusan Pengalaman Pemilikan yang antara lainnya menjamin aspek nilai dan pertumbuhan untuk pelabur.

“Penyelenggaraan proaktif, amalan lestari inovatif dan perkongsian strategik memastikan aset pelabur dioptimumkan secara aktif untuk pertumbuhan jangka panjang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Yap berkata BHP turut meningkatkan pengalaman bagi penghuni dan pelabur menerusi kerjasama dengan jenama hospitaliti global dikenali seperti Oakwood by Ascott dan Hyatt Place yang diuruskan oleh Hyatt Hotels Corporation.

Malah, beliau menyifatkan kerjasama sedemikian berperanan menetapkan piawaian perkhidmatan lebih tinggi dan melonjakkan nilai pegangan para pelabur.

“Pendekatan seimbang ini menjadi kunci (kelangsungan). Ketika pasaran meningkat misalnya, BHP secara aktif menumpukan hartanah yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi.

“Kami bekerjasama dengan jenama hospitaliti terkemuka ini bagi memaksimumkan serta menyuntik tarikan hartanah, sekali gus memastikan kejayaan walaupun dalam pasaran serba kompetitif,” katanya.

Strategi BHP itu juga memboleh pelabur mengemudi keadaan turun naik pasaran dengan lebih yakin manakala ketika pasaran susut, tumpuan beralih kepada hartanah dengan nilai intrinsik dan menjana pendapatan lebih stabil.

Faktor kebolehsesuaian itu membolehkan pelabur mengharungi penurunan pasaran dengan lebih yakin kerana menyedari nilai aset itu akan meningkat seiring masa.

“Langkah bekerjasama dengan jenama antarabangsa dikenali itu dapat mewujudkan sinergi yang berupaya melipatgandakan aspek nilai dan memberi impak ketara kepada pelaburan menyeluruh,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan