EKONOMI > BERITA

SENAI AIRPORT CITY BERJAYA TARIK PELABURAN BERNILAI RM7.5 BILION

09/07/2024 02:54 PM

JOHOR BAHRU, 9 Julai (Bernama) -- Senai Airport City Sdn Bhd (SACSB), anak syarikat milik penuh MMC Corporation Bhd (MMC) berjaya menarik 150 pelabur dengan nilai pelaburan sebanyak RM7.5 bilion.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelabur yang terdiri daripada syarikat besar termasuklah Wiwynn Technology Service Malaysia Sdn Bhd, Hershey, Mercedes-Benz, DHL, Dyson, FedEx, Haitian, Fiffy dan Supermicro, telah membuka sebanyak 28,000 peluang pekerjaan. 

“Semua ini membuktikan Johor mampu menarik kehadiran pelabur, dengan peningkatan peluang pekerjaan dan gaji yang kompetitif menanti Bangsa Johor.

“Hal ini akan meningkatkan lagi sosioekonomi masyarakat setempat, selain berupaya merangsang aktiviti ekonomi yang mampan buat Johor. 

“Dengan polisi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan merancakkan lagi sektor ekonomi negeri, saya berharap hasil limpahan ekonomi ini akan dirasai seluruh Bangsa Johor serta mampu meningkatkan taraf hidup rakyat. Insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini. 

Terdahulu, Onn Hafiz mengadakan lawatan ke kilang Wiwynn Technology Service di Senai Airport City, syarikat penyedia infrastruktur teknologi maklumat (IT) awan dan telah berjaya mencatat keuntungan berjumlah US$7.8 bilion pada tahun lepas. 

“Syarikat Wiwynn ini berkeluasan 30 ekar dan telah membangunkan dua fasa. Fasa pertama ialah kilang penyepaduan rak pelayan dan fasa dua yang kini dalam 81 peratus fasa pembinaan ialah kilang pemasangan papan litar bercetak (PCBA) pelayan.

“Alhamdulillah, sebanyak 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh Wiwynn Technology Service menjelang akhir tahun ini, dengan hampir 80 peratus pekerja adalah warga tempatan terutamanya dari Johor,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan