EKONOMI > BERITA

PENUBUHAN SURUHANJAYA EKONOMI GIG LANGKAH PENTING TANGANI ISU KOMPLEKS PEKERJA

19/07/2024 03:57 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin dan Mikhail Raj

KUALA LUMPUR, 19 Julai  (Bernama) -- Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig yang akan terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri merupakan satu langkah penting ke arah menangani isu-isu kompleks dalam ekonomi gig yang sedang berkembang pesat di Malaysia.

Muna Wan Nordin, ketua pegawai eksekutif Qwork, penyedia khidmat teknologi sumber manusia, yang memuji langkah itu berkata suruhanjaya tersebut perlu merangkumi perlindungan menyeluruh untuk pekerja gig, platform dan majikan.

“Dengan penyertaan semua pihak berkepentingan, kita dapat memastikan amalan saksama, pembinaan kapasiti untuk pekerja dan pengiktirafan rasmi pengaturan kerja gig, yang akan membolehkan pekerja menikmati faedah seperti pekerja sepenuh masa,” katanya kepada Bernama hari ini.

E-hailing, perkhidmatan penghantaran makanan, penghantar cepat dan perkhidmatan penghantaran adalah antara pekerjaan utama yang menjadi pilihan pekerja gig terutamanya dalam kalangan belia Malaysia yang menganggur yang tidak mendapat mencari pekerjaan tetap kerana penawaran kerja yang rendah.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada awal bulan ini berkata satu rang undang-undang berkaitan kebajikan pekerja gig akan dibentangkan di Dewan Rakyat.

Suruhanjaya itu akan menyelia perkara yang melibatkan kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing, serta pekerja sambilan dan separa profesional.

Ahmad Zahid juga berkata penggubalan undang-undang ini perlu kerana hanya kira-kira 250,000 daripada 1.16 juta pekerja gig di Malaysia ketika ini yang mencarum kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial.

Menurut Muna, suruhanjaya itu juga perlu mengurangkan halangan bagi platform tempatan dan menggalakkan pekerjaan gig mahir yang menyumbang kepada ekonomi negara.

"Dengan langkah-langkah ini, kita memanfaatkan potensi penuh ekonomi gig dan mewujudkan persekitaran yang mampan dan saksama untuk semua yang terlibat," katanya.

Ketua pemasaran Qwork, Vikram C. Mogan berkata, syarikat itu baru-baru ini menjalin kerjasama strategik dengan TalentCorp untuk merevolusikan landskap ekonomi gig Malaysia.

Memanfaatkan pengetahuan daripada platform dikuasakan AI Qwork, TalentCorp akan menerbitkan kertas putih penyelidikan komprehensif mengenai gig dan ekonomi kerja yang fleksibel serta faedah fiskalnya kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata, kerjasama itu juga bertujuan untuk merapatkan jurang bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dengan menyediakan akses kepada peluang gig dan latihan kemahiran penting, memupuk ekonomi gig yang lebih inklusif yang memberi manfaat kepada semua orang, terutamanya mereka yang secara tradisinya terpinggir daripada tenaga kerja.

Suruhanjaya itu boleh secara aktif menggalakkan korporat untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan memajukan agenda tenaga kerja negara, menyediakan tenaga kerja yang  bersedia untuk industri dan masa depan, katanya.

Penasihat Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) Fairuz Jamaludin baru-baru ini berkata penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (Segim) akan berfungsi sebagai pusat komprehensif untuk menyelia peruntukan keselamatan, kebajikan dan persaraan pekerja gig, serta mengawal selia kapitalisme digital dalam industri.

Beliau berkata penubuhan Segim adalah suatu yang perlu kerana tiada badan kawal selia pada ketika ini yang boleh menangani isu-isu seperti sesetengah pekerja p-hailing dan e-hailing yang menerima gaji  tidak mencukupi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan