EKONOMI > BERITA

MITI LANCAR INISIATIF PASTIKAN USAHAWAN WANITA TIDAK TERPINGGIR DALAM ASEAN 

23/07/2024 04:57 PM

KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melancarkan satu inisiatif baharu Women in Trade and Industry (WITI) untuk memastikan golongan usahawan wanita negara tidak terpinggir dalam ASEAN.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata program kerjasama antara MITI dan Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA Malaysia) itu bertujuan untuk meningkatkan kapasiti dan keupayaan usahawan wanita dalam sektor industri dan eksport.

“Inisiatif ini konsisten dan malah selari dengan apa yang kita (kementerian) hendak buat sebagai pengerusi ASEAN tahun depan untuk pastikan penglibatan wanita dalam ekonomi di peringkat ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan MITI dan Agensi Bil.7/2024 dan Pelancaran WITI, di sini, hari ini.

Terdahulu menerusi ucapannya, Tengku Zafrul berkata sebuah Jawatankuasa Penggerak WITI yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MITI akan ditubuhkan bagi memastikan gerak kerja yang lebih tersusun. 

“Usaha pemerkasaan wanita dan keluarga untuk mencapai matlamat Dasar Malaysia MADANI, Dasar Wanita Negara dan semua dasar pembangunan negara memerlukan satu anjakan paradigma yang baharu. 

“Wanita khususnya, dan seluruh masyarakat umumnya, perlu berfikiran pragmatik, bersedia meneroka ilmu dan meningkatkan kepakaran, berani bersuara dan memberi pandangan,” katanya.

Menurutnya, hasil penyelidikan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mencadangkan bahawa pengurangan jurang gender dalam pasaran buruh mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di pasaran sedang pesat membangun sebanyak hampir lapan peratus dan peningkatan KDNK secara purata 23 peratus.

“Semasa saya di Kementerian Kewangan, saya juga telahpun memulakan usaha "gender-based budgeting" yang menganalisis dan mencadangkan pelbagai langkah menerusi lensa pemerkasaan wanita.

“Penekanan terhadap pemerkasaan wanita ini diteruskan di MITI dengan 69 peratus pengurusan tertinggi MITI terdiri daripada golongan wanita,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata usaha memartabatkan Malaysia sebagai negara maju dan dihormati di pentas global turut merangkumi komitmen Kerajaan MADANI untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kondusif, mesra pelabur dan berdaya maju.

“Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus komited merencana dasar strategik dan agenda pelaburan negara.

“Manakala Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) yang dipengerusikan saya sendiri akan terus memantau pelaksanaan pelaburan secepat dan sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, pelbagai keputusan penting telah dicapai di peringkat MPN, antaranya Strategi Semikonduktor Nasional, Strategi menarik Pelaburan Hijau dan Strategi berkaitan Pusat Data Kecerdasan Buatan.

Kesemua ini, katanya, adalah manifestasi dasar Kerajaan MADANI bagi mempercepat pemulihan ekonomi negara serta membina ekonomi yang berdaya tahan, terangkum dan lestari.

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan