EKONOMI > BERITA

KERAJAAN BAYAR TUNTUTAN SKIM MYSALAM RM936.12 JUTA - MOF

24/07/2024 03:13 PM

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Bernama) -- Kerajaan telah membayar tuntutan skim perlindungan takaful percuma MySalam berjumlah RM936.12 juta bagi tempoh 2019 hingga Disember 2023.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata tuntutan itu melibatkan 1.27 juta penerima manfaat merangkumi individu B40 serta pasangan berumur 18 hingga 65 tahun yang merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Beliau berkata bayaran itu melibatkan tuntutan manfaat hospitalisasi, penyakit kritikal, pesakit di bawah siasatan, COVID-19 dan tuntutan kos peranti perubatan.

Pembayaran tuntutan paling tinggi sebanyak RM382 juta dibuat pada 2022, yang memberi manfaat kepada 650,000 penerima, diikuti pada 2021 dengan tuntutan RM246.72 juta melibatkan 365,000 penerima, katanya di persidangan Dewan Negara, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Dr Lingeshwaran R Arunasalam mengenai jumlah pampasan yang dibayar kerajaan.

Lim berkata dianggarkan lebih 10.92 juta rakyat Malaysia terdiri daripada golongan B40 layak menerima manfaat daripada skim MySalam tahun ini.

“Selangor mencatatkan jumlah penerima layak paling tinggi iaitu 1.48 juta diikuti Johor sebanyak 1.34 juta dan Sarawak dengan 1.13 juta, manakala bilangan penerima layak bagi Kelantan ialah 825,000 orang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata bilangan pembayar cukai yang menuntut potongan cukai bagi premium insurans nyawa untuk tempoh lima tahun mulai tahun taksiran 2019 sehingga 2023 secara purata ialah 2.14 juta setahun.

Potongan itu memberi penjimatan bayaran cukai sebanyak RM635 juta setahun, katanya.

Beliau berkata purata pembayar cukai yang menuntut potongan cukai bagi premium insurans pendidikan dan perubatan untuk tempoh yang sama ialah dua juta setahun, dengan memberi penjimatan cukai berjumlah RM611 juta setahun.

Lim berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Zurainah Musa mengenai jumlah individu yang telah menikmati potongan cukai bagi insurans perubatan dan nyawa dalam tempoh lima tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan